Kota Kinabalu: Kelab Ragbi Eagles muncul juara dalam acara 10s terbuka lelaki pada Kejohanan Ragbi Sains Sukan UMS ke-4 yang berlangsung di padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hujung minggu.
Perlawanan akhir yang sengit menyaksikan mereka mengetepikan Titanium RC 7-5 untuk menjulang piala.
Saingan 7s terbuka wanita dimenangi oleh Angel Warriors, yang berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Sukma Sabah 10-5 pada perlawanan akhir.
Dalam kategori veteran 10s, Saborc Goldstar yang mengagumkan membelasah KK Sharks 24-0 dalam perlawanan akhir berat sebelah untuk merangkul kejuaraan.
Sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan dua hari anjuran Pelajar Tahun 3 Sains Sukan kursus PENGURUSAN ACARA SUKAN (PZ30603) Batch Emperor selaku penganjur utama dengan kerjasama Batch Novarise, SRU serta Physical Fitness Rehab Centre.
Gelaran plate dalam acara 10s lelaki menjadi milik Kepayan Tiger dengan kemenangan 10-7 ke atas Kelab Ragbi Pangazou, manakala gelaran bowl menjadi milik Kelab Ragbi Barbarian, yang mengalahkan Kelab Ragbi Crocz 19-14 dalam perlawanan akhir yang sangat menghiburkan.