Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai perjanjian kerjasama rasmi dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam baru-baru ini sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai tulang belakang institusi bagi usaha Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI) Malaysia di Sabah.
“Perjanjian antara kementerian dan UMS ini mencerminkan komitmen kami untuk mengintegrasikan kecemerlangan akademik dengan dasar kerajaan.
“Dokumen ini mencerminkan iltizam kolektif negara dalam memelihara warisan marin kita,” kata Setiausaha Agung kementerian Anis Rizana Mohd Zainuddin ketika merasmikan majlis pelancaran Pelan Tindakan Nasional 2.0 (NPOA 2.0) di Le Meridien Kota Kinabalu.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung sempena makan malam rasmi anjuran kementerian bagi Mesyuarat Pertukaran Teknikal Serantau Kawasan Perlindungan Marin dan Atlas Coral Triangle ke-12 serta Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Kawasan Perlindungan Marin yang diadakan bertemakan “Road Towards 2030: Resilient and Effective MPAs in the Coral Triangle Region”.
Anis Rizana berkata UMS sebelum ini berperanan sebagai Pejabat Operasi Cawangan Sabah CTI menerusi pengaturan terdahulu dan pemeteraian pada Rabu itu merasmikan kerjasama penting tersebut.
Di bawah perjanjian baharu itu pejabat cawangan Sabah akan membantu Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan Malaysia dalam melaksanakan program dan aktiviti CTI di peringkat negeri serta kebangsaan.
“Lautan yang sihat bukan sahaja penting untuk pemuliharaan biodiversiti tetapi juga bagi mengekalkan sumber pendapatan, menjamin keselamatan makanan, menyokong daya tahan ekonomi dan memperkukuh kestabilan serantau. Ini menjadikan pemeteraian kerjasama ini amat tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata universiti itu berbesar hati memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
“Sebagai institusi yang menjadi hos kepada Pejabat CTI Sabah, UMS berbesar hati menyokong proses penting ini melalui penyelarasan teknikal, input saintifik dan pemudahcaraan kerjasama pelbagai agensi,” katanya.
Kasim diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Rosalam Sarbatly.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Institut Marin Borneo UMS yang diketuai oleh Juanita Joseph atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menyelaras serta memuktamadkan NPOA 2.0 CTI Malaysia.
“Sejak 2012 Pejabat CTI Sabah memainkan peranan dalam penyediaan laporan kebangsaan, menyokong penglibatan persekutuan dan negeri serta menghubungkan usaha Malaysia dengan proses CTI serantau.
“Peranan teknikal ini terus memperkukuh komunikasi antara agensi dan memastikan pelaksanaan dipandu oleh pengetahuan saintifik, realiti lapangan dan keutamaan serantau,” katanya.
Beliau berkata NPOA 2.0 yang meliputi tempoh 2025 hingga 2030 adalah hasil rundingan meluas dan menyeluruh.
“Perumusan pelan ini dibentuk menerusi penglibatan intensif sepanjang 2024 dan 2025 membabitkan agensi kerajaan, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil komuniti,” ujarnya.
Menurut beliau, penglibatan tersebut penting bagi mengenal pasti keutamaan bersama serta memastikan pelan itu mencerminkan keperluan praktikal ekosistem marin dan pesisir pantai Malaysia yang pelbagai.
“Kita kini berdepan cabaran mendesak dan luar biasa dalam perlindungan marin.
“Perubahan iklim terus mengancam terumbu karang, perikanan dan ekosistem pesisir pantai. Pencemaran plastik semakin memberi kesan kepada habitat serta hidupan marin.
“Aktiviti penangkapan ikan secara haram tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia terus menjejaskan usaha pemuliharaan serta mengancam keselamatan makanan laut dan kesejahteraan sosioekonomi komuniti pesisir di enam negara Coral Triangle (CT6),” tambahnya.
Beliau berkata isu-isu tersebut tidak mengenal sempadan negara dan negara CT6 perlu terus bekerjasama rapat untuk melindungi wilayah mega biodiversiti yang menyokong jutaan sumber pendapatan, keselamatan makanan dan keseimbangan ekologi.
“Bagi pihak UMS saya merakamkan penghargaan tulus kepada kementerian atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada kami untuk menyokong inisiatif penting ini.
“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini melalui Pejabat CTI Sabah dalam memperkukuh sumbangan Malaysia kepada agenda serantau,” katanya.
Untuk rekod Malaysia merupakan sebahagian daripada CT6 yang turut melibatkan Indonesia, Papua New Guinea, Philippines, Solomon Islands dan Timor-Leste.
Negara-negara CT6 yang ditubuhkan secara rasmi pada 2009 itu merupakan penandatangan kepada CTI mengenai Terumbu Karang, Perikanan dan Keselamatan Makanan.
Malaysia adalah antara tiga negara CT6 yang telah memformalkan pelan mereka di bawah kerangka baharu itu, bersama Indonesia yang memformalkan pelan terkini pada Disember tahun lalu dan Papua New Guinea minggu lalu.
Turut hadir ialah Pengarah Sabah Parks merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan Malaysia, Maklarin Lakim serta Pengarah Eksekutif Sekretariat Serantau CTI-CFF, Frank Keith Griffin, antara lain.