Kota Kinabalu: KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menjadi penjaga bertanggungjawab terhadap alam sekitar Sabah sambil mempertahankan masa depan ekonomi rakyat.
“Ini keseimbangan yang Sabah mahu capai. Inilah masa depan yang sedang dibina Sabah,” katanya.
Beliau berkata Sabah menyokong penuh tenaga boleh diperbaharui dan perlindungan alam sekitar yang lebih kukuh, namun pada masa sama Sabah masih sebuah negeri membangun.
Katanya, kerajaan sedang memperkukuh infrastruktur, memperluas kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keselamatan tenaga bagi pertumbuhan jangka panjang.
“Justeru, pendirian Sabah adalah jelas,” katanya.
Hajiji berkata isu tenaga bukan sekadar berkaitan alam sekitar, tetapi turut melibatkan aspek ekonomi dan keselamatan jangka panjang Sabah, sekali gus menjadikan gabungan tenaga yang seimbang dan praktikal sebagai keutamaan.
“Tenaga boleh diperbaharui sememangnya sebahagian daripada masa depan kita.
“Tenaga solar, hidro, biojisim, biogas dan teknologi bersih lain perlu terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga jangka panjang Sabah,” katanya.
Menurut beliau, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 memberi penekanan terhadap bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu milik dan mampan termasuk meningkatkan margin rizab penjanaan, memperbaiki campuran penjanaan serta memperluas sumbangan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam pada itu, Hajiji membangkitkan persoalan sama ada Sabah menerima nilai ekonomi yang adil sekiranya negeri ini terus memikul tanggungjawab alam sekitar utama untuk negara.
“Ini bukan persoalan mementingkan diri, tetapi persoalan keadilan.
“Pemuliharaan sering dianggap sebagai tanggungjawab moral dan sememangnya ia tanggungjawab yang kami ambil serius. Namun pemuliharaan juga mempunyai kos ekonomi,” katanya.
Beliau berkata apabila tanah dipelihara, terdapat kos peluang yang terpaksa ditanggung manakala perlindungan hutan turut menyebabkan kehilangan hasil negeri.
“Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang diwujudkan bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah.
“Ia memberi manfaat kepada Malaysia, rantau ini dan dunia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata perbincangan baharu mengenai kelestarian juga perlu merangkumi soal keadilan termasuk nilai, pengiktirafan, pelaburan dan penyertaan yang adil.
“Sabah tidak boleh terus dilihat sekadar sebagai penyumbang modal semula jadi.
“Sabah juga mesti menjadi negeri yang menerima manfaat daripada modal semula jadi itu,” katanya.
Hajiji berkata Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun tidak perlu memilih antara melindungi alam semula jadi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita boleh lakukan kedua-duanya, tetapi ia mesti dilakukan mengikut cara yang sesuai untuk Sabah,” katanya.