KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir bagi merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 30 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Penyelaras (MICC) Pesta Kaamatan, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, kehadiran Anwar membuktikan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Persekutuan terhadap kebudayaan dan keunikan rakyat Sabah.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dijangka memeriahkan serta menutup sambutan itu pada 31 Mei.
“Pelbagai persembahan kebudayaan berskala besar telah kita siapkan untuk menyambut ketibaan tetamu kehormat kita dan juga pengunjung.
“Tumpuan seluruh rakyat Sabah juga terarah kepada Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Peringkat Negeri Tahun 2026 yang menampilkan seramai 53 peserta bakal berentap merebut kejuaraan Unduk Ngadau pada tahun ini,” katanya semasa sesi temu bual di konti Sabah FM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Jumaat.
Jeffrey menjelaskan, pihak jawatankuasa amat peka dengan masalah lalu lintas dan parkir pada sambutan itu, maka pihaknya menyediakan perkhidmatan bas ulang alik (shuttle bus) secara percuma buat semua pengunjung.