Kota Kinabalu: Momogun National Congress (MNC) menyatakan cadangan Datuk James Ratib untuk menambah huruf “S” pada singkatan KDMR bagi mewakili masyarakat Orang Sungai memerlukan perbincangan lanjut.
Presidennya, Tan Sri Wences Angang (gambar) berkata, cadangan yang dikemukakan semasa sambutan Kaamatan di Paitan pada Jumaat itu dibuat dengan niat baik, namun tidak akan menyelesaikan “kekeliruan berpanjangan mengenai nama yang sesuai untuk komuniti kami”.
“Malah, ia hanya akan membawa kepada lebih banyak cadangan seperti itu,” katanya.
Beliau berkata, penambahan satu huruf kepada KDMR seolah-olah memenuhi ramalan lama bahawa rangkaian empat huruf itu akan terus dipanjangkan tanpa penghujung.
“Reaksi segera daripada orang ramai sekarang ialah, mengapa tidak tambah lebih banyak huruf untuk mewakili semua kumpulan pribumi lain seperti K bagi Kimaragang, L bagi Lotud, T bagi Tatana dan Tobilung, G bagi Garo dan sebagainya.
“Tetapi itu hanya akan menjadikan nama itu lebih rumit,” katanya.
Advertisement

Wences berkata, penggunaan gabungan huruf sebagai nama kelompok masyarakat tidak mempunyai amalan serupa di mana-mana, selain tiada justifikasi sejarah, tradisi atau budaya, malah ia sebenarnya bukan satu nama.
“Sejak 1963, kita telah mengemukakan pelbagai nama seperti Dusun, Kadazandusun, KDM dan kini KDMR, namun masih gagal mencapai persetujuan terhadap satu nama yang benar-benar menyatukan kita,” katanya.
Beliau berkata, MNC telah membuat deklarasi yang ditandatangani 77 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pribumi bagi menerima pakai “Momogun” sebagai nama untuk menggantikan kategori “Lain-lain” dalam borang kerajaan serta sebagai nama kelompok masyarakat pribumi berkenaan.
“Tiada sebab untuk menolak nama ini kerana ia mempunyai sejarah, makna budaya, konteks dan latar sejarah, malah telah digunakan sejak sebelum abad ke-19,” katanya.
Wences, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri, berkata MNC kini mengadakan kunjungan hormat ke atas beberapa wakil rakyat dan pemimpin negeri bagi menjelaskan rasional resolusi untuk menerima pakai “Momogun” melalui Deklarasi Momogun yang ditandatangani 77 NGO Momogun.
“Kami juga akan memohon menghadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Huguan Siou Joseph Pairin Kitingan,” katanya.