KOTA BELUD: Seorang maut dan seorang masih hilang selepas sebuah bot terbalik dan karam di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang Ahad.
Kejadian itu membabitkan lapan pemancing, dengan enam berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
Dua lagi dipercayai dihanyutkan oleh arus deras selepas bot itu terbalik di muara sungai kira-kira jam 5.20 petang.
Seorang lelaki berusia 18 tahun ditemui orang awam pada jam 9.50 malam, kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian. Dia dihantar ke Hospital Kota Belud oleh orang awam tetapi disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Mangsa kedua berusia 23 tahun belum ditemui setakat laporan ini, sementara operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan oleh pasukan keselamatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, sembilan anggota dikerah ke lokasi kejadian berserta sebuah jentera dan kenderaan utiliti pacuan empat roda jenis Toyota Vigo.
Advertisement

Katanya, usaha pencarian tertumpu sekitar kawasan kejadian.
“Operasi pencarian masih giat dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, awal pagi Isnin.