TAWAU: Tiga kemalangan jalan raya secara berasingan dilaporkan berlaku tiga hari berturut-turut dari Rabu hingga Jumaat lalu di sini melibatkan kedua-dua kecederaan parah dan ringan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata insiden terbaru berlaku kira-kira jam 7.10 malam pada Jumaat melibatkan perlanggaran antara pacuan empat roda (4WD) Toyota Land Cruiser dan motosikal Yamaha RXZ.
Katanya, seorang penunggang motosikal berumur 47 tahun mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri susulan kemalangan di simpang tiga Taman Pick Yard.
“Impak perlanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang berhampiran pondok pengawal. Dia cedera parah pada bahagian kepala, dada dan patah kaki kiri serta menerima rawatan di hospital,” katanya di sini pada Sabtu.
Jasmin berkata penunggang terbabit dipercayai dalam perjalanan dari tempat kerja ke Merotai Besar, manakala pemandu 4WD yang dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Tawau pula menuju ke kediamannya di Taman Pick Yard.
Siasatan awal mendapati pemandu 4WD yang berhenti seketika di persimpangan jalan sebelum memasuki simpang taman perumahannya apabila dia secara tiba-tiba dikejutkan dengan sebuah motosikal yang melanggar bahagian hadapan kanan kenderaannya.
Advertisement

Bagi kemalangan kedua, Jasmin berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi pada Khamis di Jalan Kuhara dekat Jambatan Putih dan Taman Semarak melibatkan sebuah 4WD Toyota dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.
Kedua-dua pemandu terselamat dalam kemalangan itu namun seorang daripadanya mengalami kecederaan ringan.
Pemandu 4WD berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Taman Ria Heights manakala wanita berusia 46 tahun yang memandu MPV sedang menuju ke Kampung Titingan dari Kampung Sungai Imam sebelum kedua-dua kenderaan bertembung di satu laluan jalan lurus.
Siasatan polis mendapati wanita itu hilang kawalan terhadap MPV dipandunya sebelum ia terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh 4WD berkenaan.
“Dalam kejadian itu, pintu pemandu MPV tersekat dan tidak dapat dibuka. Anggota bomba terpaksa memotong pintu terbabit untuk menyelamatkan pemandu yang tersepit sebelum dihantar ke hospital,” katanya.
Jasmin berkata kemalangan ketiga berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari pada Rabu di Jalan Timur di hadapan Taman Eastern melibatkan sebuah lori treler separa Nissan yang membawa muatan 10 tan, sebuah MPV Nissan Grand Livina dan sebuah motosikal.
Katanya, penunggang motosikal berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah pada kaki kanan hingga ke paras lutut manakala pemandu lori berusia 37 tahun dan pemandu MPV berusia 65 tahun tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata siasatan mendapati penunggang motosikal itu sedang bergerak dari Taman Da Hua menuju ke Pasar Sin On manakala MPV berkenaan dalam perjalanan ke arah SMK Tawau dari Megah Jaya melalui laluan yang sama. Lori treler itu pula datang dari arah bertentangan.
Jasmin berkata penunggang motosikal cuba memotong MPV ketika menuruni bukit di jalan lurus namun menyedari terdapat lori treler membawa muatan fiber dari arah bertentangan lalu cuba masuk semula ke laluannya.
Bagaimanapun, motosikal itu melanggar bahagian belakang MPV sebelum penunggangnya tercampak ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian tayar hadapan lori treler terbabit.
Beliau menambah siasatan terhadap ketiga-tiga kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa.
“Kami menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa ketika memandu serta memberi perhatian penuh terhadap keadaan jalan raya kerana keselamatan diri dan orang lain adalah tanggungjawab bersama,” katanya.