LABUAN: Dewan Perniagaan Cina Labuan mencadangkan agar Pulau Papan dekat sini dipertimbangkan untuk pembangunan resort kasino di bawah Permintaan untuk Cadangan (RFP) oleh Perbadanan Labuan bagi “menghidupkan” aset-aset terbiarnya serta merancakkan ekonomi tempatan.
Pengerusinya Datuk Wong Kii Yii berkata cadangan itu akan menarik minat ramai pelabur tempatan dan asing, selain dijangka memberi hasil yang baik memandangkan tiada resort kasino di kawasan ini dan peminat hiburan permainan terpaksa pergi jauh.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata hiburan seumpama itu akan memberi kesan positif yang meluas kepada ekonomi tempatan sekali gus menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang dihadapi pulau terbabit.
Menurut Wong, projek kasino itu boleh beroperasi di bawah peraturan ketat yang melarang orang Islam memasukinya manakala resort luar yang dilengkapi tarikan mesra keluarga termasuk sajian makanan menarik serta pusat beli-belah yang menjual produk mewah turut boleh dibangunkan.
Mengenai Pulau Papan yang berkeluasan 11.31 hektar, Wong berkata pulau itu terasing, tidak jauh dari bandar dan pada asasnya sudah mempunyai pembangunan seperti chalet dan laluan pejalan kaki, selain mudah dipantau serta sesuai untuk projek yang dicadangkan.
Kemudahan terbabit dibangunkan selepas Labuan menjadi pusat kewangan pada 1990. Pulau Papan pada asalnya dirancang sebagai lokasi rehat dan rekreasi hujung minggu untuk kakitangan namun rancangan itu tidak menjadi.
Sebelum itu, pulau berkenaan juga pernah digunakan sebagai penempatan sementara bagi pelarian Vietnam yang melarikan diri dan tiba di sini.
Pulau Papan adalah antara lapan aset milik Perbadanan Labuan yang ditawarkan untuk pembangunan.
Aset lain termasuk tapak Hotel Labuan yang baru dirobohkan, kawasan pasar lama, hab halal yang sudah lama terbiar, lot-lot kosong di sepanjang Jalan OKK Abdullah, Jalan Dewan, Jalan Tuanku Shariff Kedah dan Pulau Rusukan Besar.