RANAU: Pemain muda Isran Hadimpin mempamer aksi konsisten untuk muncul juara kategori gross pada Kejohanan Golf Mini Kaamatan anjuran Kelab Mansau-Ansau yang berlangsung di Mount Kinabalu Golf Club, di sini pada Khamis.
Isran menamatkan saingan dengan skor 76 pukulan untuk menewaskan pencabar terdekatnya, Julbbie Sani yang memperoleh 78 mata untuk menduduki tempat kedua, manakala Hamiri Sani di kedudukan ketiga selepas menutup saingan dengan 79 mata.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Bagi kategori nett, pemain senior Mohd Imran Poumin beraksi cemerlang apabila mencatat sembilan bawah par (63) untuk dinobatkan sebagai juara.
Sajili Satimin menduduki tempat kedua selepas menamatkan permainan dengan dua bawah par, manakala Azrey Ramlee mendapat tempat ketiga hasil permainan konsisten dengan catatan satu di bawah par.
Kejohanan itu turut menyaksikan beberapa hadiah teknikal dipertandingkan termasuk anugerah pukulan drive terjauh yang dimenangi Anas Kibin apabila melakukan pukulan sejauh 310 meter.
Sementara itu, gelaran ‘wooden spoon’ atau pemain di tempat kedua menjadi milik Aduka Jasnin Suman.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Kelab Mansau-Ansau, Haji Zainurin Sahat.
Terdahulu, Zainurin berkata penganjuran kejohanan itu secara santai bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli kelab dan peminat golf di daerah Ranau, malah menjadi platform untuk mengasah bakat dan meningkatkan mutu permainan pemain tempatan.
Katanya, kejohanan mini sebegini juga penting sebagai medan persediaan pemain sebelum menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi.
“Penganjuran kejohanan seperti ini akan diteruskan dengan memilih beberapa padang golf di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, malah di luar negara, selaras dengan nama kelab Mansau-Ansau yang membawa maksud ‘berjalan’,” katanya.