SANDAKAN: Peranan generasi muda memelihara warisan budaya sangat penting dalam setiap perayaan kebudayaan, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk James Ratib.
Jelasnya, golongan muda bukan sekadar peserta atau penonton, tetapi pewaris dan penerus identiti masyarakat kita.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Anak muda hari ini sebenarnya mempunyai peranan besar dalam mendokumentasikan bahasa, lagu, pakaian tradisi, makanan dan adat resam agar warisan ini terus hidup dan dikenali generasi akan datang.
“Oleh itu gunakanlah media sosial dan platform digital secara bijaksana, bukan untuk menyebarkan kebencian atau perpecahan, tetapi untuk mempromosikan budaya, ilmu, pelancongan dan nilai perpaduan.
“Kita memerlukan masyarakat yang bukan sahaja bijak menggunakan teknologi, tetapi juga matang dalam menjaga keharmonian dan hubungan sesama manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Sabtu.
Turut hadir Presiden Majlis Perbandaran Sandakan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sandakan 2026, Datuk Walter Kenson, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong dan wakil-wakil rakyat tempatan.
Mengulas mengenai Pertandingan Unduk Ngadau, James berkata Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi simbol kepada nilai budaya, kebijaksanaan, kesopanan dan penghargaan terhadap warisan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Katanya, dalam dunia moden hari ini, pertandingan itu perlu terus dilihat sebagai platform memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, perpaduan dan nilai masyarakat.
Katanya, kecantikan sebenar bukan hanya pada rupa paras, tetapi turut merangkumi keperibadian, ilmu pengetahuan, adab dan kemampuan membawa mesej positif kepada masyarakat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta Unduk Ngadau kerana berani tampil mewakili komuniti masing-masing, sambil menegaskan bahawa menang atau kalah bukan ukuran utama, sebaliknya usaha mereka dalam memartabatkan budaya adalah sesuatu yang amat membanggakan.