LABUAN: Pasukan Universal Shotokan Karate (USK) Labuan mencipta kejutan apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik dalam Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Silent Knight ke-15 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, dari 16 hingga 19 April lalu.
Jurucakapnya memberitahu kejohanan bertaraf antarabangsa itu menghimpunkan 1,955 atlet daripada 80 pasukan dari pelbagai negara termasuk Indonesia, India, Sri Lanka, Jepun, Syria dan Denmark.
Seramai 20 atlet mewakili pasukan USK Labuan dan berjaya meraih lima pingat emas, dua perak serta enam gangsa dalam pelbagai kategori kata dan kumite, sekali gus mengangkat nama Wilayah Persekutuan itu di pentas antarabangsa.
Antara pingat emas yang dimenangi ialah kata berpasukan lelaki 10-13 (Aqib Aimar, Ayqal, Jayden Ho, Khaidyn Nazeem), Ho Chiang Seng (kata veteran), Muhammad Adil Mohd Badruddin (kumite lelaki 14-15 tahun, 63kg), Ayqal Mohd Dzulfadly (kumite 12-13y -55kg) dan Syarulniza Abdul Jamil (kumite wanita senior -61kg).
Pingat perak pula diperolehi menerusi Jayden Ho (kumite lelaki 10-11 tahun, +45kg) dan Sarifin Tan (kata wanita senior) manakala gangsa disumbangkan pasukan kumite kadet perempuan junior (Martina Anne, Nur Ariesya Dayana, Nur Aleesya Dayana), Mohamad Aqib Aimar Mohamad Affendi (kata lelaki 10-11 tahun), Jayden Ho (kata lelaki 10-11 tahun), Miegal (kumite perempuan 10-11 tahun, -40kg), Nur Aleesya Dayana Asmadie (kata kadet perempuan) dan berpasukan kata kadet perempuan (Erika Kathleen, Nur Aleesya Dayana, Nur Ariesya Dayana)
Katanya pencapaian itu mencerminkan tahap disiplin, kecekapan teknikal serta keberkesanan program latihan yang dilaksanakan secara tersusun oleh barisan kejurulatihan USK Labuan.
Advertisement

Pasukan berkenaan berazam meneruskan momentum cemerlang dengan memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi kejohanan remaja kebangsaan yang dijadual berlangsung di Selangor pada penghujung April ini, katanya.