SANDAKAN: Kecuaian ketika memasak menjadi punca 8,000 – 9,000 penduduk Kampung Bahagia di Batu Sapi hilang tempat tinggal pada awal pagi Ahad.
Kebakaran pada jam 1.30 pagi itu bermula dari sebuah rumah di Jambatan A apabila seorang penduduk tidak dapat memadam api yang marak daripada dapur gasnya ketika memasak.
Ketua kampung Sharif Hashim Sharif Iting berkata ratusan penduduk berdekatan rumah terbabit telah sedaya upaya memadam api itu sementara menunggu pasukan bomba tiba di lokasi namun tetapi usaha mereka hanya sia-sia.
Keadaan rumah berstruktur kayu yang dibina berdekatan, ketiadaan air serta angin kuat memburukkan lagi situasi untuk memadamkan kebakaran.
“Kebanyakan penduduk tidak dapat menyelamatkan apa-apa harta milik mereka kerana situasi pada ketika itu huru hara dan melibatkan ribuan penduduk,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Sharif menyifatkan kejadian itu sebagai kebakaran paling dasyat pernah berlaku di Kampung Bahagia dalam sejarah kampung terbabit.
Advertisement

“Ini adalah kebakaran kali ketiga, yang pertama pada 1999 dan yang kedua pada 2001 namun kedua-dua kebakaran sebelum ini tidak seteruk kali ini,” katanya.
Shariff menggesa pihak berwajib akan melaksanakan pembancian mangsa secara terus di lokasi kebakaran bagi memudahkan mangsa kebakaran.
“Setakat hari ini, kebanyakan mangsa masih berada di lokasi kerana mereka pun masih mencari tempat menumpang dan saya juga difahamkan Dewan Serbaguna Batu Sapi yang bakal dibuka untuk mangsa-mangsa kebakaran ini tidak mencukupi.”

Beliau menggesa pihak berkuasa dapat mencari penempatan sementara tambahan terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas.