TAWAU: Program Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026 yang berlangsung di SK Bergosong, Pulau Sebatik pada Khamis bukan sekadar program kemasyarakatan biasa, sebaliknya menjadi strategi bersepadu Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam memperkukuh fabrik sosial dan keselamatan di kawasan sempadan.
Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi berkata, acara itu merupakan program pertama PSPN bagi 2026 di negeri ini dan sebahagian daripada 39 aktiviti yang dirancang di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.
Advertisement

Katanya, PSPN 2026-2030 merupakan penjenamaan semula daripada Pelan Strategik Mindef (PSM) 2021–2025 yang memberi penekanan kepada Teras 4 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (Cimic).
Menurutnya, pendekatan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh).
“Pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) yang diterapkan membuktikan bahawa pertahanan negara memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk masyarakat setempat,” katanya kepada media selepas merasmikan program tersebut.
Mohd Lepi berkata, sepanjang tahun lepas, sebanyak 40 aktiviti di bawah PSM berjaya dilaksanakan oleh Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di seluruh Sabah dan Sarawak.
Katanya, Pulau Sebatik dipilih sekali lagi sebagai lokasi pelaksanaan program selepas kejayaan penganjuran terdahulu di SK Mentadak Baru pada 2024, dan program di SK Bergosong itu pula menjadi acara pembuka tirai bagi kalendar PSPN di Sabah tahun ini.
“Pemilihan Pulau Sebatik amat signifikan memandangkan kawasan ini merupakan antara pintu masuk utama di sempadan Malaysia-Indonesia dan memainkan peranan penting dalam aspek kawalan keselamatan serta perlindungan kedaulatan negara.
“Kerjasama penduduk tempatan amat penting dalam membantu pasukan keselamatan memantau dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang ancaman keselamatan di kawasan sempadan,” katanya.
Menurutnya, program kali ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri Sabah.
Antara pengisian utama program, termasuklah pelaksanaan Medical Civic Action Program (Medcap) dan Dental Civic Action Program (Dencap) oleh pegawai kesihatan TDM bagi memberi rawatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Selain itu, sebanyak 20 “Kotak Rezeki” turut diserahkan kepada golongan memerlukan serta penyampaian sumbangan karpet kepada surau sekolah.
Program turut diserikan dengan penganjuran Jualan Rahmah hasil kerjasama KPDN bagi membantu meringankan kos sara hidup masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Mohd Sofi berkata, kejayaan pelaksanaan PSPN membuktikan komitmen berterusan kerajaan dan pasukan keselamatan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta kestabilan kawasan sempadan sentiasa terpelihara.
“PSPN bukan sahaja memperkukuh hubungan antara tentera dan masyarakat, malah menjadi platform penting dalam memperkasakan semangat patriotisme serta tanggungjawab bersama mempertahankan negara,” katanya.