Fri, 1 May 2026
Headlines:
Advertisement
Segerakan tuntutan 40 peratus, perkukuh kewangan Sabah
Published on: Thursday, April 30, 2026
Published on: Thu, Apr 30, 2026
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:
Text:
Segerakan tuntutan 40 peratus,  perkukuh kewangan Sabah
Aliakbar berkata, pelaksanaan tuntutan itu amat penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan Sabah sekali gus membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk tujuan pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.
Kota Kinabalu: Adun Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menggesa supaya tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan disegerakan pelaksanaannya tanpa sebarang penangguhan lagi.

Beliau berkata, tuntutan itu bukan lagi sekadar bahan perbahasan politik, sebaliknya merupakan tanggungjawab Perlembagaan yang perlu ditunaikan demi memastikan hak Sabah dikembalikan sepenuhnya.

Advertisement
“Sekiranya hasil negeri terus mengalir keluar tanpa pulangan yang setimpal, kita akan terus berdepan jurang pembangunan yang ketara walaupun Sabah kaya dengan sumber semula jadi.

“Tuntutan ini juga adalah hak yang telah lama diperjuangkan. Rakyat Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang sepatutnya mereka terima,” katanya semasa perbahasan sidang DUN Sabah, di sini, Selasa.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Aliakbar berkata, pelaksanaan tuntutan itu amat penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan Sabah sekali gus membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk tujuan pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.

“Banyak kawasan di Sabah masih berdepan kekurangan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik yang stabil dan jaringan jalan raya yang sempurna, justeru, dengan hasil yang lebih adil dikembalikan kepada wilayah ini, kita boleh merancang pembangunan secara lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.

Advertisement
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan kerajaan negeri perlu mempunyai pelan kesiapsiagaan ekonomi yang jelas bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan.

Beliau berkata, ketegangan antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran bukan saja memberi impak kepada harga minyak dunia, malah turut menjejaskan kos import, keselamatan perdagangan dan kestabilan rantaian bekalan.

Advertisement
“Sabah yang banyak bergantung kepada import bahan makanan dan barangan asas perlu mempunyai pelan kesiapsiagaan ekonomi. Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada keadaan luar tanpa membina kekuatan dalaman.

“Kerajaan perlu memikirkan strategi keselamatan dan keterjaminan makanan, pengukuhan industri tempatan, serta jaminan bekalan asas sekiranya konflik antarabangsa ini berpanjangan.

“Usaha memperkasa sektor pertanian, penternakan dan perusahaan tempatan perlu dipergiatkan lagi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aliakbar turut menekankan kepentingan kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penyediaan kemudahan asas sebagai teras pembangunan antaranya keperluan asas seperti air bersih yang konsisten, bekalan elektrik yang stabil, jalan raya yang selamat serta akses kepada kesihatan dan pendidikan adalah hak rakyat.

Menurutnya, tanpa semua kemudahan berkenaan, pembangunan lain tidak akan memberi makna sebenar kepada kehidupan rakyat.

Aliakbar turut membangkitkan isu pemilikan rumah yang semakin mencabar, khususnya dalam kalangan golongan muda dan berpendapatan rendah susulan peningkatan harga rumah yang tidak seiring dengan pertumbuhan pendapatan menyebabkan ramai masih gagal memiliki kediaman sendiri walaupun telah lama bekerja dan menabung.

Beliau menegaskan, situasi itu juga menimbulkan persoalan sama ada pembangunan perumahan yang dilaksanakan pada masa ini benar-benar memenuhi keperluan rakyat tempatan.

“Persoalannya, untuk siapa rumah-rumah ini dibina? Jika rakyat tempatan sendiri tidak mampu membeli, maka pembangunan itu kehilangan makna. 

“Kerajaan mesti mempunyai mekanisme kawalan harga rumah yang lebih tersusun dan berkesan di seluruh Sabah. Kita perlukan dasar yang memastikan rumah mampu milik benar-benar mampu dimiliki, bukan sekadar label yang indah pada nama.

“Faktor harga tanah juga harus dinilai semula, termasuk kos pembangunan dan margin keuntungan yang terlalu tinggi sehingga menekan rakyat. Kita tidak menolak pembangunan, tetapi pembangunan mesti mempunyai jiwa kemanusiaan. Jika rakyat sendiri tidak mampu membeli, maka objektif pembangunan ini perlu dinilai semula,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menyentuh isu setinggan yang semakin membimbangkan dan memerlukan pendekatan lebih holistik. Ini kerana masih terdapat keluarga tempatan yang terpaksa tinggal di kawasan tidak selamat seperti tebing sungai, tanah rizab dan penempatan tanpa kemudahan asas.

Jelasnya, golongan berkenaan tidak memilih untuk hidup dalam keadaan sedemikian, tetapi didorong oleh kekangan ekonomi dan ketiadaan peluang memiliki rumah.

“Justeru, kerajaan perlu menyediakan pelan penempatan semula yang lebih tersusun, rumah transit mencukupi serta skim pemilikan rumah yang realistik untuk golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan terhadap penempatan setinggan perlu disertai dengan penyelesaian yang berperikemanusiaan.

Menurutnya, ukuran sebenar kemajuan bukan terletak kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi sejauh mana rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa, selamat dan bermaruah.

“Jangan sampai tindakan merobohkan rumah bukan hanya memusnahkan tempat tinggal, tetapi juga harapan sebuah keluarga. Justeru, Kerajaan perlu tampil bukan sekadar dengan notis penguatkuasaan, tetapi dengan penyelesaian yang mampan dan menyeluruh,” tegasnya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here