Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 27 tahun didenda RM2,500 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada Rabu selepas mengugut rakan serumah wanita yang menemui kamera tersembunyi di dalam bilik air.
Tertuduh Ferguson S Inansul yang bekerja sebagai pengimpal mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana mengugut wanita berusia 27 tahun dengan kata-kata “jaga kau, awas” pada jam 10.02 malam, 2 Mei lalu di sebuah rumah sewa di Taman Permai Fasa 2, Manggatal.
Advertisement

Kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes pengadu menemui sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam bilik air rumah sewa berkenaan pada waktu kejadian.
Hasil pemeriksaan lanjut menyebabkan mangsa mengesyaki peranti tersebut dipasang oleh seorang penyewa lelaki yang menghuni bilik bersebelahan tanpa pengetahuan dan persetujuannya.
Berasa cemas dan terganggu dengan pencerobohan privasi itu mangsa berdepan dengan situasi berkenaan namun telah diugut oleh Ferguson supaya tidak membuat laporan polis.
Bimbang akan keselamatannya mangsa kemudiannya membuat laporan polis.
Bertindak atas maklumat polis menahan Ferguson ketika dia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada jam 11.20 malam, 3 Mei lalu.
Polis turut merampas sebuah kamera serta peranti USB menyerupai pemetik api hitam yang dipercayai digunakan sebagai alat rakaman untuk siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 42 tahun didenda RM25 atau tiga hari penjara kerana mengeluarkan ugutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Tertuduh Yonstewart Solly mengaku bersalah mengugut seorang lelaki dikenali sebagai Wiliam Liew pada jam 5.30 petang, 30 April lalu di sebuah rumah di Kampung Tombovo, Putatan.
Kesalahan di bawah Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil itu memperuntukkan denda maksimum RM25 atau penjara sehingga seminggu jika sabit kesalahan.
Menurut pihak pendakwaan pengadu sebelum itu mengiklankan kenderaannya untuk dijual di Facebook Marketplace dua minggu sebelum kejadian.
Yonstewart kemudian mendakwa telah membeli kenderaan tersebut melalui pembayaran dalam talian kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.
Apabila pengadu enggan menyerahkan kenderaan kerana tidak menerima sebarang bayaran tertuduh menjadi marah, menuduhnya menipu dan mengugut untuk membakar kereta serta rumah mangsa.
Bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya, pengadu membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada 1 Mei di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah di Keningau.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri.