Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun yang merosakkan harta benda jirannya susulan pertikaian mengenai najis anjing, didenda RM1,300 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Agus Susanto Albert mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kerusi plastik merah milik Shely Rolda Guevarra di luar sebuah rumah di Kampung Hungab, Penampang pada jam 10.05 pagi, 30 April lalu sehingga menyebabkan kerugian RM39.
Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa kejadian berlaku selepas Agus pergi ke rumah pengadu dalam keadaan marah dan bertanya mengenai najis anjing yang ditemui berhampiran kawasan itu.
Bagaimanapun, pengadu memaklumkan dia sudah membersihkan najis anjing peliharaannya dan turut mengurung haiwan itu, selain menegaskan najis berkenaan bukan milik anjingnya.
Walaupun penjelasan diberikan, Agus masih tidak berpuas hati dan mengugut untuk menampar pengadu sebelum pertengkaran itu dileraikan seorang ahli keluarga.
Mahkamah diberitahu Agus kemudian menolak pengadu sehingga menyebabkan wanita itu terjatuh ke atas sofa.
Dia turut menumbuk pintu rumah pengadu dan merosakkan kerusi plastik merah milik wanita itu.
Pengadu kemudian cuba merakam kejadian menggunakan telefon bimbitnya menyebabkan Agus menghentikan tindakannya dan meninggalkan rumah berkenaan.
Bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarganya, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 24 tahun didenda RM1,400 atau penjara sebulan kerana berjudi di tempat awam.
Pijah Kilah mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan perjudian di kawasan terbuka berhampiran stesen Petronas di pekan Donggongon, Penampang pada jam 4.45 petang, 1 Nov 2025.
Pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Undang-undang itu turut memperuntukkan mana-mana peralatan atau barangan perjudian yang dirampas ketika kesalahan dilakukan boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa sepasukan polis menjalankan operasi Op Dadu di lokasi berkenaan dan mendapati Pijah terbabit dalam kegiatan perjudian tambah nilai dalam talian.
Dia ditahan bersama beberapa barangan rampasan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
Pijah merayu hukuman ringan dengan alasan dia merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.
Pihak pendakwaan turut memohon wang tunai RM50 yang dirampas ketika tangkapan dilucut hak dan permohonan itu dibenarkan mahkamah sebagai hasil kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan dan Inspektor Yusdi Basri.