Kota Kinabalu: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat akan memperkukuh penyelarasan antara jabatan dan agensi di bawahnya bagi memastikan matlamat serta sasaran yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Wanita Sabah (2026-2035) dapat dicapai.
Menterinya Datuk Julita Majungki berkata wujud keperluan untuk pelaksanaan yang lebih tersusun dan bersepadu khususnya ke arah meningkatkan penyertaan wanita serta merapatkan jurang yang masih wujud terutama dalam bidang yang belum mencapai dasar kuota 30 peratus.
Advertisement

“Setakat ini penyertaan itu bukanlah tidak ada langsung atau sifar cuma diakui masih banyak yang perlu ditingkatkan terutamanya dalam politik dan pembuatan keputusan di peringkat tertinggi kerajaan, GLC, sektor swasta hingga ke peringkat akar umbi seperti PBT, majlis daerah dan JKKK.
“Jadi ini memerlukan usaha bersama oleh semua entiti dalam kementerian khususnya bagi memastikan perkara yang telah dirangka atau disusun ini dapat dicapai dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai Rangka Tindakan Wanita Sabah di Wisma IDS pada Selasa.
Rangka tindakan itu yang dikaji dan dirangka oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) menyentuh strategi serta inisiatif untuk memperkasa wanita Sabah agar dapat menyumbang secara signifikan dalam pembangunan negeri.
Menurut Julita terdapat dasar dan langkah dalam rangka tindakan itu yang sudah dilaksanakan namun pihaknya akan meneliti apa lagi yang perlu dilakukan serta ditambah baik.
“Contohnya melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan dalam PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). Secara dasarnya arahan dan pekeliling telah dikeluarkan oleh kerajaan supaya penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan, bermula di peringkat akar umbi seperti PBT, majlis daerah, JKKK serta Ketua Kampung dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau percaya di peringkat kampung masih memerlukan masa untuk meningkatkan kesedaran ke arah melantik lebih ramai wanita.
“Kadang-kadang faktor budaya dan komuniti menyebabkan tidak ramai wanita menjadi ketua kampung kerana kepercayaan dan pegangan tertentu.
“Di mana komuniti beranggapan lelaki lebih layak untuk memegang jawatan itu. Ini merupakan nilai budaya dan sesuatu yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk kita berkonsultasi.
“Seperti yang saya katakan tadi pekeliling telah dikeluarkan supaya peluang diberikan kepada wanita di peringkat akar umbi untuk terlibat dalam perkara ini.
“Bagi saya hal ini (melantik lebih ramai wanita) boleh dilakukan dengan memperhebat usaha meningkatkan kesedaran di peringkat akar umbi,” katanya.
Taklimat itu menyebut bahawa tahap perwakilan wanita Sabah di Dewan Rakyat ketika ini adalah 12 peratus (tiga wanita daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah) dan 8.86 peratus di Dewan Undangan Negeri (tujuh wanita daripada 73 Adun termasuk enam Adun dilantik).
Dari segi jawatan Kabinet tiada wanita Sabah dilantik sebagai menteri di peringkat Persekutuan manakala di peringkat negeri Menteri Wanita hanya mewakili 10 peratus dan pembantu menteri wanita pula 11 peratus.
Secara keseluruhan skor penguasaan politik wanita Sabah dalam Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) adalah 0.067.
Bagi kepimpinan wanita di peringkat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sabah berdasarkan analisis 2023 hingga 2025 hanya lapan peratus wanita dilantik sebagai pegawai daerah daripada 26 daerah.
Wanita juga hanya mewakili empat peratus sebagai pegawai eksekutif dalam kepimpinan PBT dan hanya 18 peratus menjadi ahli majlis PBT daripada 481 ahli di seluruh negeri.
Sementara itu peratusan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) wanita di Sabah dari 2022 hingga 2024 hanya 17.01 peratus.
Turut hadir Pengerusi IDS Datuk Seri Azizah Mohd Dun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IDS Datuk Dr Ramzah Dambul, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa), Haslina Ismail.