SETELAH dua tahun menjadi pengkarya muzik sepenuh masa, Sonny B!! atau nama lengkap Razali @ Sonny Bahari akhirnya tampil dengan single pertamanya sebagai penyanyi solo, If I See U Again.
Sonny, yang juga dikenali sebagai pemuzik berpengalaman, menyifatkan karya ciptaan sendiri sepenuhnya itu cukup bermakna dalam laluan karier seninya sejak hampir 40 dekad.
Advertisement

“If I See U Again merupakan single pertama saya untuk tahun ini dan juga sebagai pengkarya muzik sepenuh masa sejak memulakan perjalanan solo dua tahun lalu.
“Mungkin orang lebih mengenali saya sebagai ahli kumpulan MaSS. Jadi, saya harap single ini dapat memperkenalkan diri saya sebagai penyanyi solo pula,” katanya kepada Hiburan Ekspres.
Tatkala industri muzik Sabah dikenali dengan lagu-lagu etniknya, Sonny berkata dia sentiasa bersedia melawan arus apabila tampil dengan bahasa Inggeris.
“Single If I See U Again bukanlah single pertama saya dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini, saya ada juga lagu Inggeris ketika menjadi ahli kumpulan MaSS, You Are a Mighty Song.
“Sejak kecil lagi, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang saya gunakan secara meluas dalam kehidupan seharian bersama keluarga.
“Selain itu, sekitar 70 peratus muzik yang saya minati adalah dalam bahasa Inggeris dan hampir 90 peratus lagu ciptaan saya juga menggunakan bahasa tersebut.
“Ini menjadikan bahasa Inggeris sebagai kekuatan dan identiti saya tersendiri,” katanya yang juga seorang pemuzik dan komposer.
Sonny percaya lagu Inggeris tempatan Sabah mampu mengumpul kelompok peminat tersendiri.
“Berdasarkan pengalaman sebagai bekas penyampai radio di RTM Sabah selama 15 tahun, Alhamdulillah saya tahu bahawa penerimaan terhadap lagu Inggeris tempatan sangat menggalakkan.
“Sejak 2004, ramai artis Sabah telah berjaya merakam dan memperdengarkan lagu Inggeris di radio tempatan serta mendapat sambutan yang baik daripada peminat muzik.
“Walaupun jumlah pendengar mungkin tidak sebesar genre lain, sokongan terhadap lagu Inggeris tempatan masih kukuh.
“Lagu-lagu Inggeris tetap mendapat tempat sejak era 1960-an lagi termasuk sokongan dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Jepun dan Filipina,” katanya.
Mengenai single If I See U Again, Sonny berkata lagu terbabit menyentuh tentang pertemuan semula yang penuh emosi dan kenangan.
“Keistimewaan lagu ini terletak pada ilhamnya yang datang daripada rakan-rakan serta ahli keluarga yang mencadangkan tema-tema dekat dengan kehidupan seperti ulang tahun, pertemuan dan perpisahan.
“Dari segi muzik pula, lagu ini menggabungkan elemen R&B Pop dan Pop Jazz, menjadikannya segar tetapi tetap mudah diterima.
“Dengan perkembangan platform digital dan media masa kini, saya harap peluang untuk lagu dari Sabah menembusi pasaran antarabangsa semakin terbuka luas.
“Harapnya If I See U Again bukan sahaja berjaya di dalam negara, malah mampu pergi lebih jauh ke peringkat global,” katanya.
Single If I See U Again telah dilancarkan di platform penstriman sejak 22 April lalu.