Fri, 1 May 2026
Headlines:
Advertisement
Usaha habis-habisan jayakan Tahun Melawat Sabah 2027
Published on: Thursday, April 30, 2026
Published on: Thu, Apr 30, 2026
By: Sherell Jeffrey
Text Size:
Text:
Usaha habis-habisan jayakan Tahun Melawat Sabah 2027
Jafry berkata kempen itu melibatkan pelbagai sektor termasuk hospitaliti, runcit, produk tempatan, logistik serta makanan dan minuman, sekali gus memerlukan komitmen penuh semua kementerian, agensi dan pemain industri.
Kota Kinabalu: Sabah menggerakkan usaha menyeluruh bagi menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027 dengan menjadikannya agenda ekonomi rentas sektor, bukan sekadar kempen pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kempen itu melibatkan pelbagai sektor termasuk hospitaliti, runcit, produk tempatan, logistik serta makanan dan minuman, sekali gus memerlukan komitmen penuh semua kementerian, agensi dan pemain industri.

Advertisement
“Pelaksanaannya memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan dan industri, merangkumi semua pihak berkepentingan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri, Rabu.

Beliau berkata kementerian bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang merangka pelan tindakan berasaskan enam teras utama, termasuk pembangunan pakej pelancongan bersepadu yang menggabungkan kraftangan, gastronomi dan pelancongan komuniti.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Selain itu, katanya, usaha akan dipertingkat untuk memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi premium berasaskan alam semula jadi dan budaya, di samping menaik taraf infrastruktur pelancongan bagi menghadapi peningkatan ketibaan pelawat.

“Sabah mempunyai kelebihan daya saing melalui pengiktirafan antarabangsa seperti Taman Kinabalu yang memiliki status ‘Unesco Triple Crown’ serta Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera,” katanya.

Advertisement
Pelan itu turut merangkumi peningkatan kualiti produk eko-pelancongan dan pelancongan komuniti, memperhebat promosi digital melalui media sosial serta membangunkan kalendar acara negeri secara tersusun dengan kerjasama agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Jafry berkata pengukuhan rangkaian penerbangan merupakan keutamaan utama bagi memastikan kejayaan kempen tersebut.

Advertisement
“Kementerian dan STB akan mempergiat sesi libat urus dengan syarikat penerbangan bagi memperluas rangkaian penerbangan dan meneroka peluang kerjasama baharu,” katanya.

Beliau menegaskan Tahun Melawat Sabah 2027 dirangka sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi keseluruhan negeri dan kejayaannya bergantung kepada usaha kolektif semua pihak.

Dalam pada itu, Jafry menekankan bahawa pemeliharaan alam sekitar adalah asas utama kelestarian industri pelancongan Sabah.

“Pemuliharaan alam sekitar bukan pilihan, tetapi keperluan asas yang menjadi nadi kelangsungan industri pelancongan negeri,” katanya.

Mengulas prestasi semasa, beliau berkata ketibaan pelancong antarabangsa bagi dua bulan pertama 2026 meningkat 17.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, namun perkembangan global menjejaskan unjuran masa depan.

Katanya, konflik geopolitik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada landskap pelancongan global, termasuk perubahan corak perjalanan dan peningkatan kos operasi.

“Sabah amat terdedah kerana lebih 90 peratus akses pelancong, sama ada domestik atau antarabangsa, bergantung kepada pengangkutan udara,” katanya.

Sehubungan itu, kementerian dan STB telah menilai semula strategi promosi dan penembusan pasaran dengan memberi tumpuan kepada pasaran domestik serta Asia Tenggara dan Asia Timur Laut dalam jangka pendek hingga sederhana.

Beliau berkata kempen taktikal turut dipertingkatkan bersama platform tempahan digital seperti Klook, Trip.com dan Agoda bagi merangsang permintaan domestik.

“Pendekatan ini selaras dengan insentif Belanjawan 2026 yang menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara,” katanya.

Sebagai petunjuk awal, penyertaan STB dalam Pameran Matta Kuala Lumpur bulan ini berjaya menjana jualan pakej pelancongan domestik hampir RM5 juta.

“Ini menunjukkan Sabah kekal sebagai destinasi pilihan utama bagi pelancong tempatan,” katanya.

Jafry berkata kementerian turut berusaha menambah penerbangan dari Asia Timur Laut dan Asia Tenggara yang disifatkan sebagai pasaran stabil dan berpotensi tinggi melalui promosi bersama serta peningkatan kekerapan dan laluan penerbangan.

Mengenai peningkatan kos operasi dalam kalangan pemain industri, beliau berkata kerajaan sedang mengumpul maklum balas dan data bagi menilai impak sebenar sebelum menentukan bentuk bantuan yang sesuai.

“Kerajaan Negeri komited menangani isu ini dan akan mempertimbangkan bantuan sewajarnya bagi memastikan kelangsungan operasi industri pelancongan,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here