Kota Kinabalu: Sabah Action Body Advocating Rights (Sabar) menggesa supaya rundingan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus Sabah disertai garis masa jelas, kemajuan boleh diukur serta ketelusan lebih tinggi.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyatakan sokongan terhadap isu yang dibangkitkanAhli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Datuk Roger Chin ketika membahaskan usul terima kasih atas Titah Yang Dipertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Dalam kenyataan pada Selasa, Sabar berkata keputusan Mahkamah Tinggi mengenai geran 40 peratus telah mengesahkan hak perlembagaan Sabah, justeru kerajaan Persekutuan dan negeri perlu beralih daripada jaminan umum kepada tindakan konkrit.
“Rundingan tidak boleh berlarutan tanpa penetapan pencapaian, tarikh akhir atau sasaran yang boleh diukur,” menurut kenyataan itu sambil menggesa pihak berkuasa menyediakan kemas kini berkala kepada umum sejak keputusan mahkamah pada Oktober 2025.
Menurut Sabar maklumat yang perlu didedahkan termasuk butiran mesyuarat yang diadakan, kemajuan dicapai, sebarang pembatalan serta pelan hala tuju dan garis masa jelas untuk menyelesaikan isu berlarutan itu.