TAWAU: Seorang kerani wanita, 39, antara individu ditahan dalam Op Mabuk di dua lokasi berasingan bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi di sekitar bandar Tawau, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata sebanyak 48 kenderaan pelbagai jenis diperiksa sepanjang operasi itu manakala 50 individu disaring.
Katanya, sebanyak enam keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Dalam operasi terbabit, polis menahan seorang pemandu wanita tempatan selepas ujian awal menggunakan alat saringan alkohol pernafasan SD2+ di lokasi kejadian.
“Susulan itu, suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau untuk ujian pengesahan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II) yang merekodkan bacaan melebihi had dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit ditahan untuk tindakan lanjut manakala kenderaan yang dipandunya turut disita.
Operasi itu, yang dijalankan BSPT IPD Tawaum membabitkan seorang pegawai dan sembilan anggota di Jalan Sim Hwa Seng dan Jalan St. Patrick.
“Operasi ini adalah tindakan berterusan PDRM dalam membanteras pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.
Sementara itu, seorang remaja lelaki tempatan, 19, turut ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen serta cukai jalan (LKM) dan insurans tamat tempoh.
Jasmin berkata remaja itu ditangkap dalam operasi berasingan di bawah Op Mentor Aduan dan pemantauan aktiviti merempit di kawasan One Arena, Kubota.
“Suspek dikeluarkan notis saman dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat,” katanya yang menambah, tiga motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi sama.
Dalam pada itu, tegasnya, polis akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang khususnya kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak sama sekali memandu selepas mengambil minuman beralkohol demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.