KOTA KINABALU: Dua lelaki masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, pada Jumaat, selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.
Yap Chee Lung, 37, dan Alex Gohinmin, 40, membuat pengakuan berasingan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Yap dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara lapan bulan kerana memandu kenderaan jenis Ford Ranger dengan kandungan alkohol 122 miligram bagi setiap 100 mililiter nafas, melebihi had dibenarkan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira 12.01 tengah malam pada 19 Mac tahun ini di Jalan Coastal.
Mahkamah diberitahu, polis yang menjalankan operasi membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol menahan kenderaan Yap kerana disyaki.
Ujian saringan awal mengesan kehadiran alkohol dan ujian pernafasan lanjut mengesahkan bacaan 122mg per 100ml, melebihi had 50mg yang dibenarkan.
Advertisement

Sementara itu, Alex turut dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana memandu dengan kandungan alkohol berlebihan.
Kesalahannya dilakukan kira-kira 1.30 pagi pada 21 Julai 2024 di Jalan Penampang-Kota Kinabalu berhampiran SMK Bahang.
Fakta kes menyatakan Alex ditahan dalam sekatan jalan raya sebelum dibawa ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang untuk pemeriksaan lanjut.
Ujian pernafasan menunjukkan bacaan alkohol 78mg per 100ml, melebihi had dibenarkan.
Kedua-dua kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh sabitan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua mereka hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun bermula dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony dan pegawai pendakwa trafik Inspektor Irriansyah Abu Bakar.