BEAUFORT: Sebuah bandar baharu akan diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan dalam tempoh tiga tahun bagi memperkasakan lagi pembangunan dan pentadbiran di kawasan tersebut.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata pelan pembangunan sudah mula disediakan dengan kawasan tapak dikenal pasti.
Adun Lumadan itu menambah pembangunan melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar di Kampung Padas Valley yang dicadangkan itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama pihak pemaju.
“Bandar baharu ini bukan sahaja akan menempatkan lot-lot kedai dan pusat komersial tetapi turut merangkumi pembinaan kawasan perumahan serta penyediaan pelbagai prasarana asas yang diperlukan rakyat.
“Perancangan ini juga sudah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah Beaufort dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Beaufort, baru-baru ini,” katanya selepas Program Bulanan Bersama Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dun Lumadan di sini, Selasa.
Turut hadir Pegawai Daerah Beaufort Nazri Ajun.
Advertisement

Menurut Ruslan, pembinaan sebuah hospital di bandar baharu itu turut dicadangkan bagi menampung keperluan penduduk di daerah ini yang berdepan kekangan kapasiti kemudahan kesihatan sedia ada.
Sehubungan itu katanya, beliau telah berbincang dengan pihak pemaju agar dapat menyediakan tapak seluas kira-kira 50 ekar di lokasi sama bagi tujuan pembinaan hospital itu dan menambah, rundingan awal menunjukkan persetujuan pada dasarnya telah dicapai.
Bagaimanapun, katanya, perbincangan lanjut masih diperlukan melibatkan Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta agensi-agensi berkaitan bagi memperhalusi pelaksanaan projek itu.
“Ketika ini, projek ini masih di peringkat perancangan namun tanah telah tersedia dan pelan pembangunan sedang dalam proses penyediaan.”
“Insya Allah sekiranya semua berjalan lancar, pembangunan ini akan memberi impak besar kepada ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di Lumadan dan Beaufort,” katanya.
Sementara itu, Ruslan memaklumkan pihaknya juga akan menjadikan Dun Lumadan sebagai antara Hab Pertanian dan Penternakan Moden di Sabah susulan potensi yang dimiliki kawasan itu.
Katantya, kawasan Beaufort khususnya di Lumadan mempunyai keluasan tanah pertanian dan ternakan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya sekali gus membuka ruang besar untuk pembangunan sektor berkenaan.
“Jika potensi ini dapat digerakkan secara menyeluruh bukan saja kita mampu meningkatkan tahap sekuriti makanan di Sabah malah dapat menjana ekonomi serta menambah sumber pendapatan rakyat setempat.
“Ini kerana sektor pertanian kekal relevan sebagai antara pemacu utama ekonomi rakyat dan akan terus diperkasakan melalui pendekatan moden serta sokongan berterusan kerajaan,” katanya.