RANAU: Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan gempa bumi lemah berlaku di Kundasang pada jam 3.02 pagi Selasa.
Gempa bermagnitud 3.4 pada skala Richter itu berlaku pada kedalaman 10km, di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur, kira-kira lapan kilometer barat laut dari Ranau.
Tiada kerosakan struktur atau kecederaan dilaporkan, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
JBPM memaklumkan operasi pemantauan dilaksanakan bermula 6.35 pagi, melibatkan pemeriksaan di premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam di sekitar Pekan Ranau.
“Hasil makluman orang awam serta pemerhatian penjaga bangunan mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan setakat ini dan keadaan terkawal serta selamat.
Tiada laporan kecederaan atau insiden susulan diterima,” menurut kenyataan itu.
Advertisement

Bagaimanapun, Jabatan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan.
Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kerosakan kepada pihak berkuasa dan sentiasa mengikuti arahan rasmi daripada agensi keselamatan.