SANDAKAN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran awal pagi Ahad di Kampung Bahagia, Batu Sapi, yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dan menyebabkan kira-kira 9,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Sebagai bantuan awal, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima RM2,000, merangkumi RM1,000 bantuan khas daripada Kerajaan Negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri amat bersimpati dengan nasib mangsa yang terjejas, yang menurutnya merupakan antara insiden terbesar melibatkan penempatan itu.
“Hari ini saya turun ke lokasi untuk menilai keadaan. Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka ketika ini,” katanya.
Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan bantuan.
Hajiji berkata tahap kemusnahan di kawasan berkenaan adalah sangat besar dengan hampir keseluruhan kampung musnah sepenuhnya.
Advertisement

Beliau berkata laporan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Mengenai pelan pembangunan semula, Hajiji berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa cadangan termasuk penambakan laut bagi pembangunan perumahan, yang dijangka melibatkan kos yang besar.
Katanya, Kerajaan Negeri akan menunggu laporan menyeluruh daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan sebelum membuat keputusan lanjut.
“Kita akan menerima terlebih dahulu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan mengenai cadangan alternatif mereka. Dari situ, kita akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka.
Turut mengiringi Hajiji ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Julita Majungki; Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Maijol Mahap; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Datuk Ag Shahminan Datuk Ag Sahari serta Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah Datuk Hajah Diyanah Abdullah.