KENINGAU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan telah mengenal pasti Keningau sebagai lokasi bagi sebuah pusat pemprosesan hasil pertanian baharu yang akan dikendalikan pemain industri swasta di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.
Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan nilai tambah produk pertanian tempatan selain membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada penduduk daerah tersebut.
Jamawi berkata demikian ketika merasmikan Kursus Transformasi Penanaman Durian anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Masyarakat Keningau baru-baru ini.
Kursus tersebut menarik penyertaan seramai 142 peserta dari seluruh Sabah sekaligus mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap industri durian di negeri ini.
Mengenai program Kebun Dapur, Jamawi berkata ia akan diperluas menerusi model mentor-mentee yang melibatkan 23 mentor dalam pelbagai bidang pertanian termasuk penanaman durian dan penternakan ayam.
“Melalui pendekatan ini pengamal berpengalaman akan membimbing peserta secara berterusan supaya lebih ramai usahawan berjaya dapat dilahirkan,” katanya.
Advertisement

Beliau menambah sistem bimbingan berstruktur itu juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap subsidi dengan memastikan bantuan hanya disalurkan kepada peserta yang benar-benar berpotensi.
“Sebelum ini bantuan diberikan tanpa penilaian menyeluruh. Kali ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus kadar kejayaan dalam kalangan peserta melalui sistem bimbingan yang lebih tersusun,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap.
Menurutnya program itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas kementerian untuk memperluas pemindahan ilmu kepada petani dan usahawan tani di semua 26 daerah di Sabah melalui pelbagai kursus sepanjang tahun meliputi durian, avokado dan latihan berkaitan industri makanan.
“Hari ini kita fokus kepada penanaman durian di Keningau tetapi di daerah lain kita juga akan mengadakan kursus avokado serta pelbagai kursus berasaskan makanan. Ini adalah inisiatif Jabatan Pertanian bagi memastikan ilmu dapat disampaikan kepada usahawan, petani dan pengusaha durian,” katanya.
Dari segi pembiayaan Jamawi berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Perbadanan Pinjaman Sabah untuk menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM30,000 selain pinjaman kadar faedah rendah sekitar satu peratus melalui Agrobank bagi membantu peserta berpotensi menceburi pertanian komersial.
Beliau menambah kementerian akan terus menyokong pemain industri dalam memasarkan hasil melalui kerjasama dengan persatuan berkaitan.
“Kita telah melakukan banyak usaha bagi memastikan produk dapat dipasarkan dengan lebih berkesan serta memberikan pulangan kepada pengeluar,” ujarnya.
Sementara itu kementerian akan melancarkan jelajah program Kebun Dapur sempena Pesta Kaamatan peringkat negeri yang dijadual berlangsung pada 1 Mei di Papar.
Jamawi turut mengajak orang ramai untuk hadir bagi mengetahui pelbagai inisiatif di bawah program Kebun Dapur serta peluang yang ditawarkan dalam sektor pertanian.
“Pendidikan dan bimbingan berterusan kepada petani amat penting bagi memastikan sektor pertanian Sabah berkembang secara mampan,” katanya.