TAMBUNAN: Kehadiran anjing liar yang berkeliaran di sekitar premis perniagaan dan kedai makan di daerah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang awam selain menjejaskan keselesaan pengunjung.
Masalah itu mendapat perhatian selepas beberapa aduan disuarakan pengunjung yang mendakwa populasi haiwan terbiar berkenaan semakin tidak terkawal.
Tinjauan mendapati anjing-anjing terbabit sering berada di kaki lima premis malahan ada yang memasuki ruang makan untuk mencari sisa makanan.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Justin meluahkan rasa kecewa terhadap situasi berkenaan.
“Saya datang ke kedai dengan niat untuk makan namun hilang selera apabila melihat anjing berkeliaran di celah meja.
“Rasa tidak selesa itu sangat kuat, lebih-lebih lagi apabila memikirkan aspek kebersihan makanan,” katanya.
Menurutnya keadaan fizikal anjing yang kebanyakannya kelihatan tidak sihat turut menimbulkan kebimbangan termasuk masalah kulit yang mengeluarkan bau tidak menyenangkan.
Beliau berkata kewujudan bulu haiwan di lantai premis juga menimbulkan risiko menjejaskan kesihatan pelanggan.
Masalah itu katanya bukan baharu namun dilihat semakin serius kebelakangan ini dengan peningkatan jumlah anjing liar terutama pada waktu puncak.
Situasi berkenaan bukan sahaja mengganggu pelanggan tempatan malah berpotensi menjejaskan imej daerah itu dalam kalangan pelancong.
Beberapa pemilik premis yang enggan dikenali mengakui berdepan dilema untuk menghalau haiwan berkenaan kerana bimbang menerima kritikan namun pada masa sama menyedari kesannya terhadap pendapatan perniagaan.
Sehubungan itu masyarakat setempat berharap pihak berkuasa tempatan dan jabatan berkaitan dapat mengambil tindakan segera termasuk operasi penangkapan atau pemindahan anjing liar secara berkala bagi memastikan kawasan tumpuan awam kekal bersih dan selamat.
Langkah penyelesaian jangka panjang juga perlu dirangka bagi menjamin keselesaan serta kesejahteraan masyarakat selain mengelakkan kesan negatif terhadap sektor pelancongan domestik di daerah terbabit.