Pemimpin belia daripada pelbagai parti politik di Sabah menunjukkan kesepakatan dalam memperjuangkan hak 40 peratus hasil negeri, dengan menggesa sayap parti lain mengetepikan perbezaan dan bersama dalam tuntutan tersebut.
Kumpulan yang terdiri daripada ahli politik dan aktivis itu berkumpul dalam satu perhimpunan di Padang Merdeka pada petang Jumaat, menegaskan isu berkenaan melangkaui hujah perundangan dan perlu digerakkan melalui kesungguhan politik secara kolektif.
Advertisement
_E.jpg)
Berucap pada perhimpunan itu, Ariff Adi Putera Anwar berkata tuntutan 40 peratus bukan semata-mata isu perundangan, sebaliknya berkait dengan kedaulatan dan hak perlembagaan.
“Ini bukan sekadar persoalan undang-undang. Ia juga bersifat politik. Ia melibatkan kedaulatan dan Perlembagaan kita.
“Kita perlu menunjukkan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa rakyat Sabah bersatu dalam tuntutan ini.
“Apabila kita mencapai sokongan kritikal, kita boleh mendapatkan rundingan yang lebih memihak kepada Sabah,” katanya.
Advertisement

Wakil Komuhakan, Atalia Mae Jaua pula menekankan hubungan antara aspek kehakiman, politik dan kehendak rakyat, sambil menyifatkan mahkamah sahaja mungkin tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Sekarang kita cuba menunjukkan bahawa rakyat juga mempunyai kuasa dan suara kita penting.
“Apa yang diperlukan seterusnya ialah kesungguhan politik daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Yong Yit Jee dari Parti Maju Sabah (SAPP) berkata perhimpunan itu merupakan langkah penting dalam meningkatkan kesedaran awam, selain mencadangkan kemungkinan mengadakan referendum bagi menilai sentimen sebenar rakyat Sabah.
“Dengan penyelarasan antara elemen awam, politik dan kehakiman, mungkin kita boleh mempertimbangkan undang-undang referendum untuk menentukan kehendak sebenar rakyat Sabah.
“Sudah jelas ramai yang menuntut hak 40 peratus serta hak lain di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Ini mungkin tidak membawa perubahan segera, tetapi ia satu permulaan bermakna,” katanya.
Walaupun menghormati pendirian Mahkamah Rayuan dalam perkara itu, kumpulan tersebut berpendapat alasan yang dikemukakan masih boleh dipersoalkan.
Menurutnya, implikasi kewangan kepada Sabah adalah besar memandangkan negeri itu masih berdepan isu berterusan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan infrastruktur air yang memberi kesan langsung kepada pembangunan.
Allison Chan dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) berkata sudah tiba masanya perbezaan ideologi politik diketepikan.
“Kami tidak melihat ini sebagai agenda politik, sebaliknya sebagai seruan perpaduan. Jika rakyat Sabah terus berpecah, berapa lama lagi isu ini dapat diselesaikan?” katanya.
Beliau turut menggesa sayap belia parti lain untuk menyertai usaha tersebut, sambil menegaskan penyertaan itu tidak wajar dilihat sebagai tindakan menentang mana-mana pihak.
“Ini bukan pemberontakan. Kami bertindak melalui platform belia untuk membawa perubahan,” katanya.
Kumpulan itu turut menggesa pihak yang belum menyertai agar mengambil langkah pertama, dengan menegaskan perhimpunan aman dan advokasi kolektif adalah penting dalam memperkukuh suara Sabah di peringkat nasional.
“Kami bukan sahaja masa depan, kami adalah masa kini. Masa untuk bertindak adalah sekarang,” menurut kenyataan kumpulan itu.
Kira-kira 250 orang, termasuk ahli politik dan wakil 19 pertubuhan bukan kerajaan menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh Wisdom Foundation itu.