Advertisement
SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Advertisement
Advertisement
“Sabah mempunyai potensi mineral yang sangat besar. Kalau kita manfaatkan dengan teknologi dan kepakaran tempatan, industri ini mampu menjadi pemacu ekonomi negara,” katanya lagi.
Lo berpendapat, kerajaan wajar memberi tumpuan kepada pembangunan industri perlombongan emas sebagai langkah mempelbagaikan sumber ekonomi selepas sektor kelapa sawit dan kayu balak yang semakin terhad.
Katanya, sebelum ini sumber ekonomi, khususnya Sabah banyak bergantung kepada industri kelapa sawit dan pembalakan, namun, sumber tersebut kini semakin berkurangan dan tidak lagi mampu menjadi satu-satunya penyumbang utama dalam jangka panjang.
“Kayu balak sudah semakin habis, dan tanah untuk kelapa sawit juga ada hadnya. Kita perlu cari alternatif baharu untuk terus mengembangkan ekonomi negara, sekaligus membuka peluang pekerjaan untuk rakyat,”katanya.
Sedia berkongsi kepakaran kepada pelabur tempatan yang minat emas
Lebih dikenali dengan panggilan Datuk Lo, dia yang berpengalaman 15 tahun dalam industri perlombongan emas, turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi teknologi dan kepakaran dengan pelabur Malaysia yang berminat.
Perkara itu, katanya, sebagai usaha memperkukuh industri perlombongan tempatan secara keseluruhan dan mengangkat industri perlombongan negara ke tahap lebih tinggi, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran asing.
Lo mengakui aktiviti perlombongan yang hendak dijalankan memang agak sukar untuk dilaksanakan kerana perlu melalui proses panjang dan pematuhan peruntukkan daripada jabatan-jabatan terlibat, sebelum operasi lombong boleh dimulakan sebagaimana diperuntukkan di dalam Ordinan Perlombongan 1960 dan Ordinan Tanah Sabah Bab 68.
Justeru, katanya, dia mahu berkongsi pengalaman awalnya ketika proses permohonan mendapatkan lesen eksplorasi dan lesen melombong di kawasan tanah milik syarikat SGSB di Bukit Mantri dan Bukit Tundong, Balung pada 2014 sebagai nilai tambah pengetahuan buat syarikat berminat yang ingin melabur atau menceburi industri perlombongan di Sabah.
“Pertama sekali, syarikat yang berminat perlu mengenal-pasti kawasan tanah yang berpotensi mempunyai mineral dan selepas itu perlu memohon lesen mencarigali (lesen prospecting) daripada kerajaan negeri iaitu Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
“Sekarang, permohonan tersebut perlu melalui Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dengan kelulusan JTU,” katanya.
Selain itu, Lo memberitahu, pihak syarikat juga perlu mendapatkan pelepasan untuk memasuki hutan simpan (Forest Reserve) daripada Jabatan Perhutanan Sabah dengan menggunakan prospecting license yang diberikan oleh JTU.
Seterusnya, katanya, kajian kebolehlaksanaan atau kajian kemungkinan akan dilakukan oleh Perunding Perlombongan (mining consultant) yang berdaftar dengan kerajaan Malaysia.
Katanya, kajian tersebut akan disokong dengan penggerudian intensif, sebagaimana diperlukan dalam industri perlombongan itu sendiri iaitu JORC - Joint Ore Reserves Committe guidelines bagi menentukan sama ada projek itu economic atau tidak sebelum membuat permohonan kepada kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri pula, katanya akan menilai laporan kajian kebolehsanaan itu dan mempertimbangkan sekiranya sesuai untuk dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memerlukan 2/3 sokongan majoriti ahli DUN sebelum pewartaan kawasan hutan simpan sebagai kawasan perlombongan, dan ditandatangani oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah.
“Selepas itu, Hasil Bumi akan mengarahkan JTU untuk menyediakan perjanjian perlombongan dan pajakan perlombongan serta menandatangani dokumen itu bersama-sama dengan syarikat pemohon,” katanya.
Syarat Perjanjian perlu dipatuhi
Menurut Lo, dalam perjanjian itu, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum aktiviti perlombongan boleh dilaksanakan, sebagaimana diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan Senarai 1.8 (j) dan Senarai 2.2 (c) berkaitan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan Negeri Sabah iaitu:-
Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu diperolehi daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, dan Skim Pengendalian Perlombongan (OMS) perlu diperolehi daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Jelasnya, berdasarkan Perjanjian Perlombongan dan Pajakan Perlombongan tersebut, baharulah pihak syarikat pelombong boleh memohon kajian impak alam sekitar khas -EIA khas (Special EIA) - yang perlu dilakukan kajian kawasan secara intensif oleh konsultan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Hanya selepas EIA khas diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD), barulah syarikat pelombong boleh memohan EIA pengoperasian (operational EIA) yang melibatkan enam (6) konsultan berkaitan untuk menyediakan Laporan EIA kepada EPD untuk kajian dan semakan.
“Dan selepas mendapatkan kelulusan EIA daripada EPD, barulah syarikat pelombong boleh memohon Skim Pengendalian Perlombongan (OMS) sebagaimana Seksyen 5 dan 6, Akta Pembangunan Mineral 1994 iaitu lesen pengoperasian aktiviti perlombongan dan urusniaga hasil perlombongan.
“Seterusnya, apabila mendapat OMS, syarikat perlombongan boleh menjalankan operasi perlombongan. Proses untuk mendapatkan kesemua lesen ini sebelum beroperasi mengambil masa sekitar tujuh tahun,” jelasnya panjang lebar.
Namun, harus dimaklumi, katanya, meskipun syarikat pelabur sudah mendapatkan kebenaran eksplorasi di kawasan yang dipohon daripada Kerajaan Negeri tetapi tidak bererti Kerajaan Negeri akan menjanjikan bahawa kawasan hutan yang sudah dilaksanakan eksplorasi itu, akan diberikan lesen melombong kepada syarikat yang menjalankan eksplorasi di kawasan tersebut.
Sebaliknya, menurutnya, kerajaan boleh memberikan kebenaran atau lesen melombong kepada syarikat lain mengikut kehendak kerajaan Negeri.
Tiada jaminan atau garis panduan jelas punca pelabur takut menjalankan eksplorasi
Menurut Lo, situasi berkenaan menjadi antara punca pelabur takut untuk menjalankan eksplorasi kerana tiada jaminan atau garis panduan jelas berhubung lesen eksplorasi dan lesen melombong di kawasan yang sudah dijalankan eksplorasi.
“Ketiadaan jaminan dan garis panduan jelas boleh merugikan syarikat pelabur yang menjalankan eksplorasi kerana aktiviti ini melibatkan kos tinggi sehingga mencecah puluhan jutaan ringgit,” katanya.
Justeru, sebagai pemain industri perlombongan emas yang berpengalaman, dia berharap Kerajaan Negeri dapat memainkan peranan proaktif dalam memudahkan dan menyakinkan syarikat pelabur untuk melabur agar industri itu berkembang pesat di Sabah.
Lo juga mencadangkan agar JTU berurusan antara jabatan dengan Jabatan Perhutanan Sabah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan lesen mencarigali kepada pihak syarikat agar mereka yang mendapat lesen berkenaan, tidak berdepan kesulitan untuk memasuki kawasan (hutan) yang dipohon bagi menjalankan aktiviti cari gali.
Difahamkan, terdapat lebih 34 kawasan di seluruh Sabah yang sudah dikenalpasti mempunyai sumber mineral didakwa wujud di negeri ini seperti emas, antimoni, arang batu, tembaga dan bijih besi.
Senior Metallurgist SGSB, Nor Syahirah Rusdi, 30, menjelaskan syarikat perlombongan itu berjaya membangunkan sistem pemprosesan emas berteknologi tinggi yang mampu menghasilkan emas berkualiti - membuktikan keupayaan kepakaran anak tempatan dalam industri tersebut.
Menurutnya, proses pengeluaran emas bermula sebaik sahaja batuan yang mengandungi emas dihantar ke kilang untuk diproses.
“Batuan yang mengandungi emas akan dihancurkan kepada saiz lebih kecil melalui proses ‘crushing’. Selepas itu, akan dimasukkan ke dalam mesin ‘ball mill’ untuk dihancurkan dengan lebih halus,” katanya.
Nor Syahirah berkata, emas yang diproses bukan dalam bentuk ketulan yang boleh dilihat dengan mata kasar, sebaliknya tersembunyi dalam tanah dan hanya dapat dikenal pasti melalui ujian makmal.
Dalam proses seterusnya, katanya, bahan tersebut akan dicampur dengan bahan kimia khas bagi mengekstrak emas daripada tanah.
“Kami menggunakan parameter tertentu seperti tahap pH dan campuran kimia bagi membolehkan emas bertindak balas dan larut ke dalam larutan. Proses ini mengambil masa sekitar 24 jam,” katanya.
Tambahnya, selepas proses tersebut, sisa tanah akan ditapis, manakala air yang digunakan akan dikitar semula bagi menjimatkan kos operasi.
“Emas yang larut dalam larutan kemudiannya akan diserap menggunakan karbon aktif sebelum dihantar ke bahagian pemprosesan akhir atau ‘gold room’.
“Di ‘gold room’, emas akan dipisahkan semula daripada karbon melalui proses ‘stripping’ dan kemudian akan melalui beberapa peringkat termasuk pengeringan, cucian asid dan pembakaran sehingga menjadi emas tulen,” terangnya dalam taklimat ringkas.
Nor Syahirah berkata, proses penghasilan emas tidak semestinya dilakukan mengikut jadual bulanan tetap, sebaliknya bergantung kepada jumlah bahan yang diproses.
“Sebagai contoh, untuk 10 kelompok pemprosesan (batch), mengambil masa sekitar 20 hingga 23 hari dan boleh menghasilkan sekitar 17 hingga 20 kilogram (kg) emas. Jika tempoh dipanjangkan lagi, hasil emas boleh mencecah berat lebih tinggi,” katanya.
Dia juga menyatakan operasi lombong di Tawau (SGSB) amat memberangsangkan kerana berjaya mencapai kadar pemulihan (recovery) sehingga 95 peratus, yang bermaksud hampir keseluruhan kandungan emas dalam batuan tanah berjaya diekstrak melalui pemprosesan moden - antara tertinggi di Malaysia.
Dalam pada itu, Nor Syahirah berkongsi kemungkinan kecurian emas dalam kalangan pekerja hampir mustahil untuk berlaku memandangkan proses akhir di ‘gold room’ terhad kepada pakar terlibat sahaja dan wakil daripada jabatan-jabatan berkaitan bagi pengesahan rasmi berkenaan jumlah pengeluaran mineral daripada hasil perut bumi Sabah.






