PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Datuk Chin Tek Ming mengemukakan satu usul persendirian di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah bagi menuntut pelaksanaan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bnersih yang diperoleh dari negeri ini.
Usul yang dikemukakan pada 2 April itu meliputi tuntutan dari 2022 hingga 2025 serta tahun-tahun berikutnya seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Advertisement
_E.jpg)
Usul terbabit turut disokong oleh empat Adun Warisan iaitu Jamil Hamzah (Bugaya), Yusri Pungut (Sindumin), Mohammad Abdul Karim (Segama) dan Nurulalsah Hassan Alban (Sungai Sibuga).
Chin berkata langkah itu didorong oleh jurang besar antara bayaran yang diterima Sabah dan jumlah sebenar hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.
Berdasarkan rekod Parlimen, Sabah menerima RM125.6 juta setahun bagi 2022 dan 2023, RM300 juta pada 2024 serta RM600 juta bagi 2025 termasuk peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau berkata hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah dianggarkan antara RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun.
Advertisement

“Ini bermakna hak Sabah sepatutnya sekitar RM8 bilion hingga RM12 bilion setahun,” katanya sambil menambah negeri ini mengalami kekurangan antara RM7 bilion hingga RM11 bilion setiap tahun.
Beliau berkata bagi tempoh 2022 hingga 2025 sahaja, kekurangan itu boleh mencecah antara RM28 bilion hingga RM44 bilion.
Chin mendakwa bayaran bagi tahun-tahun kebelakangan ini boleh dikira dengan cepat menggunakan sistem sedia ada dan tidak sepatutnya ditangguhkan.
“Semua hasil yang dikutip dari Sabah boleh dikira dengan mudah. Dengan rekod digital, jumlahnya sudah diketahui. Berdasarkan itu, bayarlah 40 peratus,” katanya.
Adun Likas Datuk Tham Yun Fook turut menggesa semua wakil rakyat memberi sokongan.
“Ini tidak sepatutnya menjadi isu kontroversi. Semua wakil rakyat harus menyokong kerana ia baik untuk Sabah,” katanya.
Beliau berkata jumlah yang sudah jelas dan boleh dikira perlu dibayar terlebih dahulu manakala tuntutan lama boleh ditangani secara berasingan.
“Tiada sebab untuk tidak membayar apa yang sudah jelas,” katanya sambil merujuk kepada cabaran infrastruktur Sabah termasuk jalan rosak, gangguan bekalan air dan sistem yang semakin uzur.
Jamil pula mempersoalkan kelewatan berterusan walaupun terdapat peruntukan perlembagaan.
“Apabila rakyat melanggar undang-undang, mereka dihukum. Tetapi apabila Perlembagaan tidak dipenuhi, apa yang berlaku?” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan Chen Ket Chuin turut menuntut ketelusan dalam rundingan dan menggesa kedua-dua kerajaan mendedahkan butiran mesyuarat.
“Kami masih tidak tahu. Kami tidak tahu apa yang telah dibincangkan atau sejauh mana kemajuan dicapai,” katanya.
Usul itu juga menggesa Kerajaan Negeri menentukan jumlah sebenar yang terhutang, mendapatkan pendedahan penuh daripada Kerajaan Persekutuan serta mengambil langkah sewajarnya termasuk tindakan undang-undang bagi memastikan pelaksanaan sepenuhnya.