BELURAN: Elaun pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinaikkan sebanyak RM200 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,000 sebulan.
Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Rubin Balang berkata kenaikan itu adalah sebagai usaha memperkasa peranan kepimpinan di peringkat kampung.
Advertisement
_E.jpg)
“Kenaikan elaun tersebut turut disertai dengan penambahbaikan sistem pembayaran di mana bayaran akan terus dikreditkan ke akaun penerima setiap bulan tanpa perlu melalui proses tuntutan seperti sebelum ini.
“Langkah terbabit diambil bagi mempermudah urusan pentadbiran dan memastikan kebajikan pengerusi serta setiausaha JKKK lebih terjamin,” katanya.
Beliau memnaklumkan perkara itu ketika mengadakan lawatan kerja ke daerah Beluran sempena penutupan kursus melibatkan pengerusi-pengerusi JKKK dari kawasan Labuk dan sekitarnya pada Selasa.
Dalam masa sama semua pemimpin JKKK turut diingatkan mengenai tanggungjawab masing-masing sebagai peneraju kampung termasuk memastikan kebersihan, kesejahteraan dan kemajuan komuniti setempat sentiasa diberi keutamaan.
Advertisement

Kementerian turut menekankan kepentingan pembangunan menyeluruh meliputi aspek infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan kesihatan agar kampung tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa.
Bagi memperkukuh tadbir urus setiap JKKK juga disaran mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan bersamaan minimum enam kali setahun.
Selain itu katanya aktiviti gotong-royong juga perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali sebulan bagi memupuk semangat kerjasama dan memastikan kebersihan kampung sentiasa terpelihara.
Dalam perkembangan berkaitan kementerian juga memaklumkan bahawa perbincangan akan diadakan bagi menyelaras peranan antara JKKK di bawah Kerajaan Negeri dan Persekutuan khususnya melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan kesatuan pentadbiran di peringkat kampung.
Ketua-ketua kampung juga disarankan untuk turut serta dalam setiap mesyuarat dan aktiviti gotong-royong bagi memperkukuh kerjasama serta memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.