Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan petroleum negara kekal stabil meskipun berdepan cabaran krisis tenaga global, dengan pelbagai langkah komprehensif sedang dilaksanakan bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga domestik terus terpelihara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan bukan saja menumpukan kepada aspek kestabilan bekalan, malah memperketat kawalan serta pemantauan pengedaran barang kawalan bagi membendung ketirisan.
“Seperti dimaklum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Amar Fadillah Yusuf semasa Taklimat Krisis Tenaga Global baru-baru ini, bahawa bekalan petroleum negara stabil dan kerajaan sedang menggerakkan pelan kontingensi bagi memastikan kelangsungan keterjaminan bekalan tenaga untuk memenuhi keperluan domestik.
“Ini kerana risiko ketirisan seperti penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan dijangka meningkat susulan konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga global, sekali gus menuntut tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu.
Armizan berkata, sehubungan itu, kerajaan telah memperkasa pelaksanaan operasi sedia ada dengan menaik taraf Ops Tiris 3.0 kepada Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang berkuat kuasa mulai 16 Mac lalu.
Katanya, pendekatan baharu itu menekankan kerjasama merentasi pelbagai agensi penguatkuasa dan kementerian berkaitan bagi memperkukuh keberkesanan pemantauan serta tindakan di lapangan.
“Operasi penguatkuasaan ini melibatkan tiga kluster utama iaitu daratan, perairan dan sempadan, dengan penyelarasan menyeluruh antara agensi bagi memastikan tiada ruang untuk aktiviti ketirisan.
“Pada masa sama, Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) turut diaktifkan serta-merta pada 11 Mac lalu, sebagai langkah strategik.
“JTPAP yang dipengerusikan Datuk Amar Fadillah Yusof, juga akan mempengerusikan mesyuarat seterusnya pada 6 April ini bagi menilai status pelaksanaan penguatkuasaan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, kerajaan turut memperkukuh kawalan melalui pemantauan harian menggunakan dashboard pangkalan data yang merangkumi keseluruhan rantaian pengedaran bahan api.
Katanya, pemantauan itu meliputi semua peringkat termasuk kilang penapisan, fasiliti penyimpanan, stesen minyak serta pengguna industri bagi memastikan ketelusan dan mengesan sebarang ketidakpatuhan dengan lebih cepat.
Menurutnya, pendekatan berasaskan data itu penting dalam menangani kepelbagaian modus operandi yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi sebarang aktiviti ketirisan.
“Selain penguatkuasaan, KPDN turut memperkasakan gerakan Kita Gempur iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan yang dilancarkan pada 19 Oktober 2024.
“Pendekatan ini mengangkat konsep ‘whole of nation’ dengan melibatkan penyertaan masyarakat secara menyeluruh dalam usaha membanteras manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan barang kawalan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Armizan menegaskan bahawa kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-Aduan, talian pusat panggilan dan aplikasi Ez ADU KPDN.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat serta tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak tepat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.
Terdahulu, krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat kini memberi kesan meluas di rantau Asia apabila beberapa negara mula melaksanakan langkah drastik termasuk catuan bahan api, penjimatan tenaga dan sekatan aktiviti harian.
Situasi ini berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang turut menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz sebagai antara laluan utama penghantaran minyak dunia.
Harga minyak global juga dilaporkan melonjak sehingga 25 peratus, dengan minyak mentah Brent mencatat kenaikan harian terbesar, sekali gus meningkatkan kos penghantaran dan tekanan ekonomi di peringkat global.
Perkembangan ini menunjukkan krisis tenaga bukan lagi isu setempat, sebaliknya telah menjadi cabaran global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat di pelbagai negara.