SANDAKAN: 13 pendaki, termasuk 12 wanita dan seorang lelaki, ditemui selamat selepas dilaporkan sesat semasa melakukan aktiviti mendaki di Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok, di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, lima anggotanya dikejarkan ke lokasi sejauh 20km dari balai selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 malam melalui talian 999.
Operasi mencari itu turut dibantu oleh renjer hutan dan beberapa pendaki.
Menurutnya, 13 pendaki itu berada di atas bukit hutan tersebut apabila sukar mencari jalan turun kerana suasana gelap.
Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat sebelum diiring turun hingga ke pintu masuk utama tempat pendaftaran RDC.
Operasi ditamatkan pada jam 9.14 malam selepas kesemua mangsa dipastikan selamat.