Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 51 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan memiliki harta curi.
Kaparin Kunsin mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Bagi pertuduhan pertama Kaparin didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Khairul Anwar Abdullah pada jam 10 pagi, 8 Mac lalu di hadapan sebuah kedai 7-Eleven di Kampung Air.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa secara tidak jujur menyimpan sebuah beg silang yang dilaporkan dicuri milik mangsa sama di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang hari yang sama.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 23 April untuk pengurusan kes praperbicaraan (PTCM) dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,200 dengan dua penjamin.
Sementara itu seorang wanita penganggur berusia 44 tahun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan harta.
Eu Siew Fung didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM47,553.51 milik BDT Trading Sdn Bhd di premis syarikat itu di Inanam antara 27 Disember 2024 hingga 12 Mei 2025.
Pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan sehingga lima tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 23 April untuk PTCM dan membenarkan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin.
Dalam mahkamah berasingan seorang jurujual wanita berusia 39 tahun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.
Fatmawati Jimson, pemegang dokumen IMM13 didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan barang kemas milik Hermah Saleh antara 28 Januari hingga 1 Februari tahun ini di Kampung Contoh Suang Parai, Manggatal.
Barang kemas tersebut terdiri daripada rantai emas 916, gelang emas 916 dan cincin emas 916 dengan nilai keseluruhan RM34,740.
Pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan hingga lima tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda.
Majistret Marilyn Kelvin menetapkan 21 April untuk PTCM dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap dua minggu.
Fatmawati diwakili peguam Lim Ming Zoong manakala pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri dan Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.