LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan dadah menerusi dua operasi berasingan di Jalan Silam dan Jalan Pantai.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata dalam operasi pertama pada Khamis sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu sebuah bilik di Kampung Sharip, Jalan Silam.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu dua lelaki berusia 26 dan 30 tahun ditahan.
Pemeriksaan di dalam bilik berkenaan menemui 0.05 gram dadah disyaki syabu bersama beberapa peralatan untuk menghisap dadah.
Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati salah seorang daripada suspek positif mengambil dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Dzulbaharin dalam operasi kedua pada Jumaat pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di Jalan Pantai kira-kira jam 3.30 petang.
Katanya hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui 5.05 gram bahan disyaki syabu dalam milikannya.
“Suspek juga didapati positif mengambil dadah dan mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata jumlah rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan bernilai RM561.