SEMPORNA: Sebanyak lima rumah, tiga kedai dan sebuah premis tadika musnah dalam kebakaran di Kampung Air di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, PPgB Rastam Keladi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.43 petang.
Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna digerakkan ke lokasi dengan dua jentera serta sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Pasukan tersebut dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air Semporna serta enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak, masing-masing tiba dengan sebuah jentera bomba dan bot.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan beberapa rumah dan premis dengan anggaran keluasan kawasan terjejas kira-kira 131 x 196 kaki.
“Lima rumah tidak kekal, sebuah kedai runcit tidak kekal, sebuah gerai makanan tidak kekal, sebuah kedai bundle (pakaian terpakai) tidak kekal serta sebuah tadika (tidak beroperasi sejak 2017) musnah 100 peratus.
“Kebakaran itu juga menyebabkan sebuah rumah mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 600 kaki dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada jentera serta pili bomba berhampiran.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.51 petang dan menyelamatkan kira-kira 50 rumah berhampiran daripada turut dijilat api.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan operasi pemadaman masih diteruskan ketika kenyataan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat dikeluarkan pada jam 5.48 petang.
Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Di TONGOD, dua rumah imam antara tiga yang musnah dalam kebakaran di Kampung Entilibon, di sini, awal pagi Jumaat, dengan tiga sekeluarga cedera ketika cuba menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 pagi sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.19 pagi berikutan jarak balai yang jauh iaitu kira-kira 121 kilometer.
Menurutnya, kebakaran membabitkan tiga rumah yang musnah sepenuhnya.
“Lima kenderaan serta tiga motosikal turut musnah, manakala sebuah masjid berhampiran juga terkena bahang api,” katanya.
Menurutnya, sepasang suami isteri masing-masing berumur 53 tahun cedera di bahagian tengkuk dan pinggang selepas terpaksa melompat keluar dari rumah, sementara anak mereka berusia 20 tahun melecur di tapak kaki dan muka.
“Ketiga-tiga mangsa dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Entilibon untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.34 pagi sebelum ditamatkan pada jam 7 pagi.
Di PAPAR, sebuah rumah separuh kekal di Kampung Laut Kinarut musnah dalam kebakaran pada malam Jumaat, menyebabkan sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.42 malam melalui talian NG999 dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi sejauh 17km.
“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar serta lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan dikejarkan ke lokasi dengan sebuah jentera FRT, sebuah kenderaan EMRS dan sebuah kenderaan CFRT,” katanya.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera bomba.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.