Kota Kinabalu: Mahkamah menetapkan 9 April sebagai tarikh untuk pengurusan kes praperbicaraan lanjut bagi kes membabitkan seorang tukang masak berusia 32 tahun di sebuah sekolah yang didakwa merogol teman wanitanya di bawah umur.
Zarvoel Saidi dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada Rabu bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada tertuduh.
Advertisement

Bagaimanapun pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beberapa dokumen termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah hotel dan laporan perubatan mangsa masih belum lengkap.
Pihak pendakwaan seterusnya memohon tarikh sebutan lanjut bagi membolehkan dokumen berkenaan diserahkan kepada tertuduh.
Zarvoel didakwa merogol seorang pelajar berusia 14 tahun 10 bulan pada jam 3 petang, 10 Januari lalu di sebuah hotel di Tuaran.
Kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Zarvoel yang terus direman menunggu keputusan kes memaklumkan kepada mahkamah bahawa dirinya tiada sebarang kenyataan untuk dibuat.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mewakili pihak pendakwaan manakala Zarvoel tidak diwakili peguam.
Semasa penampilan pertama di mahkamah Zarvoel berkata mangsa adalah seorang pelajar di sekolah tempat dia bekerja.