Tenom: Sembilan sukarelawan Malaysia daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction dilaporkan terkandas di Turkiye selepas penerbangan pulang mereka dibatalkan pada malam Ahad berikutan situasi keselamatan yang semakin tegang di Asia Barat.
Kesemua sembilan sukarelawan itu dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction Dr Ghafur Rahim Mustakim berkata ketegangan serantau yang berterusan telah mengganggu jadual penerbangan antarabangsa serta beberapa laluan udara sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat pulang seperti dirancang.
Menurut beliau sukarelawan berkenaan sepatutnya menaiki penerbangan Emirates dengan transit di Abu Dhabi namun penerbangan tersebut dibatalkan sekali gus menjejaskan penumpang yang menuju ke Malaysia dan Indonesia.
“Kami masih menunggu maklum balas daripada Wisma Putra dan pihak Emirates untuk menyelaras serta memastikan sukarelawan ini dapat dibawa keluar dan pulang ke tanah air,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jawa Uloi selepas mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
Beliau berkata para sukarelawan sebelum ini ditempatkan di beberapa penempatan pelarian bagi menjalankan kerja-kerja kemanusiaan termasuk menyampaikan bantuan pendidikan dan keperluan asas kepada kanak-kanak Syria.
Ghafur menambah pihak pengurusan organisasi sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia serta Kedutaan Malaysia bagi memastikan keselamatan semua sukarelawan terjamin.