TAMPARULI: Sepuluh individu termasuk sembilan pelancong warganegara China mengalami kecederaan ringan selepas van dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Minangkob di sini, pada Ahad.
Van yang membawa sepuluh orang termasuk seorang pemandu itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
Penumpang terdiri daripada lima lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.
Semua mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan dengan bantuan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran Kurong Ak Beki berkata mereka panggilan kecemasan pada jam 8.36 pagi.
Katanya, seramai 12 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah van agensi pelancongan terbabas di bahu jalan, dalam longkang,” katanya ketika dihubungi.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Siasatan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala operasi ditamatkan pada jam 9.20 pagi,” katanya.