SEMPORNA: Seorang wanita berusia 53 tahun dikejarkan ke hospital selepas pengsan semasa kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, di sini, pada Jumaat.
Kebakaran itu memusnahkan sembilan rumah, sebuah stor simpanan dan sebuah kedai runcit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.51 petang.
Menurutnya, seramai 21 anggota bomba bersama dua jentera serta kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian, dengan jentera pertama tiba hanya dua minit selepas panggilan diterima.
“Komander operasi melaporkan sembilan rumah, sebuah stor simpanan dan sebuah kedai musnah 100 peratus akibat kebakaran.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.29 petang,” katanya.
Rastam berkata seorang wanita yang pengsan di lokasi diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 5.30 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian.
Sementara itu, di SIPITANG, sebuah rumah yang disewa dan dijadikan Pusat Komuniti Islam di Kampung Long Pasia musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1 tengah hari, Khamis lalu.
Rumah itu, dimiliki Davy Buayeh Tadam, sebelum ini pernah digunakan sebagai pejabat Imigresen antara 1970-an hingga 1990-an sebelum ditukar fungsi menjadi pusat komuniti.
Seorang penduduk, Jeniffe Opai, berkata kebakaran dipercayai bermula di tingkat atas bangunan sebelum merebak ke bahagian bawah.
“Saya nampak api bermula dari tingkat atas dan cepat merebak ke bawah. Punca kebakaran masih belum diketahui,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba sukarela, anggota tentera, kakitangan sekolah serta penduduk kampung berganding bahu memadam kebakaran sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
Penduduk dilaporkan panik apabila asap tebal menyelubungi kawasan kampung kerana bimbang api merebak ke rumah berhampiran, namun jarak antara kediaman mengelakkan kerosakan lebih besar.
Tiada kecederaan dilaporkan ketika laporan ini ditulis. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kejadian itu berlaku tidak lama selepas kampung berkenaan dilanda banjir.
“Kampung kami baru sahaja dilanda banjir dan kini berdepan satu lagi bencana,” kata Jeniffe.