SANDAKAN: Sebanyak lima bazar Ramadan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta empat bazar kendalian pihak swasta dibuka sempena bulan Ramadan tahun ini.
Presiden MPS Walter Kenson berkata lokasi semua bazar berkenaan masing-masing terletak di Jalan Coastal, pusat bandar Sandakan dengan 154 lot, Sejati Walk, Batu 7 (100 lot), Bandar Sibuga Jaya Batu 8 (116 lot),Tamu Gum-Gum, Batu 16 (69 lot) dan Agrobazaar, Batu 32 dengan 21 lot.
“Empat bazar kendalian pihak swasta pula berada di Bataras Hypermarket Bandar Utama, IJM dengan 100 lot, Kompleks Sukan Sandakan (30 lot), Masjid Nurrusyakirin Indah Jaya (20 lot) dan Bandar Nam Tung dengan 16 lot.
“Tahun ini juga terdapat pembaharuan di mana pihak MPS memansuhkan bidaan atau tender lot bazaar kepada kaedah cabutan lot yang adil dan telus selain harga makanan atau minuman dapat distabilkan berdasarkan caj permit yang lebih murah dan berpatutan.
“Selain itu pembaharuan juga meliputi pihak MPS memulakan pemberian kuota lot sebanyak 30 peratus kepada belia bagi pengisian lot-lot bazar Ramadan untuk menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang perniagaan kecil-kecilan.
“MPS turut memperkenalkan dua bazar baharu iaitu di kawasan luar bandar iaitu Tamu Gum-Gum dan Agrobazaar Batu 32 untuk menggalakkan ekonomi kecil luar bandar dan memudahkan logistik tempatan,” katanya ketika di hubungi pada Khamis.
Dalam pada itu Walter menasihatkan peniaga agar dapat mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh MPS sepanjang berniaga di semua bazar Ramadan tahun ini.
Menurutnya peniaga juga perlu memastikan makanan dan minuman yang dijual berada dalam keadaan bersih, selamat selain harga yang berpatutan buat pengunjung.