KOTA BELUD: Seorang lelaki, 44, maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika memburu di kawasan hutan Sapoda di sini, Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud Elge Bakuk berkata pasukan itu menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam, dengan seramai lima anggota dikejarkan lokasi kejadian sejauh 39 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati mangsa tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari pokok ketika memburu bersama rakan,
“Rakan mangsa terpaksa keluar dari kawasan hutan untuk menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya dihubungi pada Ahad.
Elge berkata pasukan bomba bersama pihak perubatan terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk tiba ke lokasi mangsa.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pihak perubatan hospital Kota Belud mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Anggota bomba dengan bantuan ranger hutan kemudiannya membawa keluar mayat mangsa menggunakan pengusung.
“Selepas keluar dari kawasan hutan, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala operasi ditamatkan jam 10.56 malam,” katanya.