Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Timor Leste dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan kerana merogol teman wanita di bawah umur yang dikenali melalui aplikasi TikTok.
Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Rafinus Bata Tukang selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan pada Khamis.
Rafinus merogol remaja perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan itu pada jam 7 malam, 7 Disember 2025 di sebuah bilik sewa di Inanam.
Kesalahan di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Rafinus menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap dan mengarahkannya dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Semasa rayuan hukuman Rafinus yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan dia merupakan anak sulung dalam keluarga, ibunya telah meninggal dunia, bapanya pula sakit, dan dia bertanggungjawab menjaga adik-beradiknya.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia menyesal atas perbuatannya dan itu merupakan kesalahan pertamanya.
Rafinus juga mendakwa mangsa hanya bersamanya selama sehari dan dia telah meminta mangsa pulang ke rumah namun mangsa enggan berbuat demikian. Dia turut mendakwa mangsa memberitahunya bahawa mangsa berusia 18 tahun.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kes rogol merupakan kesalahan serius dan semakin berleluasa.
Menurutnya mahkamah juga perlu mengambil kira bahawa mangsa masih di bawah umur ketika kejadian.
Nurul Shaferrah menegaskan bahawa walaupun hubungan itu didakwa berlaku secara suka sama suka, undang-undang jelas menyatakan bahawa hubungan seksual dengan individu bawah umur adalah satu kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa pengadu sebelum ini membuat laporan polis untuk menarik balik laporan kehilangan anak perempuannya.
Siasatan lanjut mendapati remaja itu telah meninggalkan rumah dan mengikuti Rafinus menaiki motosikal.
Mangsa kemudian memaklumkan kepada ibunya bahawa dia telah melakukan hubungan seksual dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai “Boboy” iaitu Rafinus di sebuah bilik sewa.