Kota Kinabalu: Seorang pemandu bas dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan isterinya.
Rickly Primus, 44, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 41 tahun di kuarters mereka di Kampung Kawakaan, Inanam kira-kira jam 7.30 malam, 1 Januari lalu.
Rickly didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 326A membenarkan hukuman sehingga dua kali ganda tempoh maksimum jika mangsa adalah pasangan.
Mahkamah diberitahu bahawa pengadu membuat laporan polis di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQEll) selepas mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dengan gelas oleh suaminya.
Siasatan mendapati Rickly telah membaling gelas ke arah mangsa menyebabkan luka di bahagian kiri kepala yang memerlukan lima jahitan serta rawatan hospital.
Siasatan lanjut turut mendapati Rickly berada dalam keadaan mabuk selepas minum bersama rakan-rakannya sebelum kejadian.
Serangan berlaku selepas mangsa menegur tertuduh kerana menghina anak seorang rakannya. Rickly juga dilaporkan sering memarahi dan memukul mangsa selepas pulang dari kerja.
Bertindak atas maklumat diterima polis menahan Rickly di rumah mereka.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan mempunyai anak yang masih bersekolah serta tanggungjawab lain termasuk bekerja dan membayar rumah.
Pegawai pendakwa Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mahkamah memerintahkan Rickly menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes berasingan tiga lelaki didakwa melakukan khianat dengan merosakkan harta milik universiti.
Mohd Salleh Mohd Rauf, 37, Al Najil Madjabil, 25, dan Sahrul Nazri Sarun, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memotong kabel AMAD empat teras sepanjang 55 meter milik Universiti Malaysia Sabah (UMS) di laluan mendaki Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS kira-kira jam 10.30 pagi, 17 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 14 April depan untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan Salleh serta Sahrul diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin manakala Al Najil diperintahkan untuk ditahan reman lanjut.