Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 34 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret kerana menyimpan barangan elektronik curi.
Khairul Kassim yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan menyimpan secara tidak jujur barangan curi iaitu jam pintar Techlife, pengecas tanpa wayar Baseus, set kepala tanpa wayar Fantech dan pembesar suara tanpa wayar Vinffier pada jam 6.20 petang, 3 Februari lalu di sebuah rumah sewa di Taman Union.
Advertisement

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah diberitahu bahawa barangan tersebut merupakan antara harta yang hilang dari rumah pengadu di Dah Yeh Villa yang dipecah masuk pada 1 Februari lalu.
Bertindak atas maklumat polis menahan Khairul pada jam 6.20 petang, 3 Februari di rumah sewa berkenaan di Taman Union, Putatan dan berjaya merampas semula barangan curi terbabit.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 32 tahun didenda RM1,200 atau tiga bulan penjara kerana memiliki peralatan perjudian.
Mar Hawati Mohd Anuar mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan membeli tiket loteri secara haram yang dikenali sebagai ‘Hwa Hui’ pada 6 Februari tahun ini kira-kira jam 2.30 petang di kaki lima sebuah kedai di Inanam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Mar ditahan polis susulan maklumat mengenai aktiviti perjudian di kawasan berkenaan.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, pencetak mudah alih, dua tiket loteri haram serta wang tunai RM48 daripada tertuduh menurut mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan bersama Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.