SEMPORNA: Cadangan penubuhan pasukan petugas khas pemantauan industri pelancongan menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) disarankan melalui proses perbincangan dan penyelarasan sebelum dilaksanakan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (Puspabumi) Mad Zafar Mad Zahala (gambar) berkata perbincangan dan penyelarasan menyeluruh khususnya antara kementerian terlibat perlu dibuat memandangkan isu berkaitan pelancongan tidak hanya melibatkan KePKAS.
Katanya isu melibatkan premis penginapan turut melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) yang turut mempunyai kuasa, terutamanya dalam urusan perlesenan.
“Penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara kedua-dua pihak ini merupakan satu langkah penting bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat tidak bercanggah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mad Zafar koordinasi jelas antara semua pihak yang terlibat bukan sahaja dapat memastikan pelaksanaan yang lebih teratur tetapi dapat memastikan tindakan yang bakal diambil bersifat menyeluruh dan adil.
Beliau berkata koordinasi berkenaan juga bagi memastikan pengusaha tempatan yang telah lama beroperasi serta menyumbang kepada sektor pelancongan di Semporna tidak terjejas.
Pihaknya juga memohon agar Kerajaan Negeri dapat mempermudahkan proses permohonan lesen dan tanah yang memberi impak besar kepada pengusaha kecil dan sederhana di daerah terbabit.
“Selain itu kita berharap agar pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dapat dibuka di Semporna bagi memudahkan serta mempercepat proses permohonan,” katanya.