Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 40 tahun yang melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dikenakan dua sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jaiman Keminlian selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan yang dihadapi pada Isnin, hari pertama perbicaraannya.
Mahkamah memerintahkan Jaiman menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.
Jaiman melakukan kesalahan itu terhadap kanak-kanak berkenaan dengan menyentuh anggota badan mangsa pada jam 4.10 pagi, 16 Januari 2024 di sebuah rumah di Kampung Likas.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam rayuan mitigasi Jaiman yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan bapanya telah meninggal dunia dan dia perlu menjaga ibunya yang sakit serta abangnya yang menghidap strok.
Jaiman turut memohon agar hukuman penjara berkuatkuasa dari tarikh tangkapannya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan memandangkan kesalahan itu adalah serius.
Fazriel turut berhujah bahawa mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam bagi menunjukkan bahawa perbuatan sedemikian tidak akan ditoleransi selain trauma dialami mangsa apabila tertuduh memasuki rumah lewat malam ketika mangsa tidak berpakaian.
Mahkamah diberitahu bahawa pada hari kejadian tertuduh memasuki rumah berkenaan, menarik tangan mangsa dan membawanya keluar dari rumah.
Ketika kejadian mangsa yang sedang tidur di ruang tamu tidak memakai pakaian dan hanya menggunakan tuala untuk menutup mukanya.
Tertuduh melepaskan mangsa selepas kanak-kanak itu menjerit sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Susulan laporan polis dibuat tertuduh kemudiannya berjaya ditahan.