Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan menggunakan resit transaksi palsu sebagai tulen di sebuah premis di Manggatal.
Tertuduh Muhd Izrael Khan Ali Khan yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan menggunakan secara tidak jujur sebagai tulen satu resit transaksi pembayaran palsu bertarikh 14 Februari 2026 di Sinalau Hub, Telipok pada 14 Februari tahun ini kira-kira jam 4.30 petang.
Advertisement

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 April untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 29 tahun dipenjara sebulan kerana memiliki sarung paip tembaga yang dipercayai barang curi.
Ahadi Salleh mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan memiliki 13 keping sarung tembaga yang gagal diberi penjelasan munasabah mengenainya pada jam 1.45 pagi, 5 Februari lalu di jejantas pejalan kaki Api-Api Centre.
Ahadi melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Bab 80) Sabah yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Ahadi ditahan polis di lokasi berkenaan kerana memiliki barangan tersebut.
Polis merampas sarung paip tembaga itu dan menahannya selepas gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan barangan berkenaan kata pihak pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh dan Inspektor Yusdi Basri.