KOTA BELUD: Pasukan Sarang A menjuarai Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala KBS 2026 setelah menewaskan pasukan Stom FC 2-1 dalam perlawanan akhir di Padang Belia Kampung Sarang Kota Belud baru-baru ini.
Kedudukan separuh masa pertama terikat 1-1 sebelum Sarang A memperolehi gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Pasukan Sarang A dari Kota Belud membawa pulang hadiah wang tunai RM2,026, piala dan medal selaku juara. Naib johan dari Pitas menerima wang tunai RM1,526, piala dan medal manakala pasukan Remaja Sarang menerima RM726, piala dan medal sementara SGV selaku pemenang tempat keempat menerima wang tunai RM526.00
Kejohanan yang diadakan bersempena Tahun Baharu Cina 2026 itu disertai 24 pasukan anjuran Kelab Belia Sarang (KBS). Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pintasan Datuk Fairuz Renddan, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah menjadi penyumbang utama.
Perasmian dan penyampaian hadiah disampaikan oleh wakil Fairuz iaitu Pemimpin Kemajuan Masyarakat (PPM) Dun Pintasan Sikar Datin.