KOTA BELUD: Sebanyak 14 rumah terjejas dalam kebakaran di Kampung Melangkap Kapa, di sini, pagi Sabtu.
Difahamkan, daripada jumlah itu, 10 rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi rosak 10 peratus akibat bahang api, namun tiada mangsa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Elge Bakuk ketika dihubungi berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.57 pagi.
Sembilan anggota, termasuk dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai, dikerah ke lokasi kejadian sejauh 36 kilometer.
“Setibanya di lokasi pada jam 11.48 pagi, anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan 14 rumah jenis separuh kekal dan sepuluh daripada jumlah itu, terbakar 100 peratus.
“Ekoran laluan sempit dan keadaan jambatan yang tidak kukuh, jentera FRT tidak dapat memasuki lokasi kejadian,” kata Elge, menambah pasukan bomba terpaksa menggunakan kaedah lain.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 91 meter dengan alat pam angkut yang diambil dari sumber air terbuka di sungai berhampiran.
Operasi dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan kerja-kerja “overhaul” dilaksanakan bagi memastikan tiada punca bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran semula. Operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.15 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.
Operasi turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).